Ahad, 15 Julai 2007

DIABETES LAGI..( Pantang jumpa )


Ramai orang terperangkap penyakit kencing manis kerana tidak menjaga pemakanan

Okay...post kali ni masih bersekitar kencing manis..bukan apa..ekoran lawatan aku ke hospital Kluang ni ramai pula jumpa pesakit kencing manis..ada yang baru potong kaki..ada yang baru kena cuci dan macam-maca lagilah..ya..lah penyakit "pantang jumpa atau nampak ni" dah jadi trend kita di zaman millenium ni..alhasil kita juga yang nyesal..

PENINGKATAN jumlah pesakit kencing manis setiap tahun belum dapat meningkatkan kesedaran ramai orang untuk sentiasa menjaga pemakanan dan kesihatan dengan bersungguh-sungguh.



Untuk berpantang makan di negara yang kaya dengan kepelbagaian makanan enak seperti Malaysia sememangnya payah dilakukan.

Justeru, ada pakar perubatan mengandaikan rakyat negara ini seolah-olah mengamalkan satu konsep pemakanan iaitu ‘pantang nampak’, menyebabkan ramai orang, termasuk golongan muda seawal usia 30 tahun, terjebak dalam perangkap penyakit kencing manis.

Kencing manis berlaku apabila kelenjar pankreas sentiasa mengeluarkan insulin dan kadangkala melebihi paras normal. Pada masa sama badan tidak dapat menggunakan insulin ini, menjadikan pesakit dalam keadaan tidak cukup insulin.

Insulin adalah sejenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah. Apabila kita makan atau minum, kandungan gula dalam makanan atau minuman itu merangsang kelenjar pankreas untuk menghasilkan insulin.

Insulin ‘membenarkan’ gula yang dipecahkan dalam bentuk lebih ringkas dalam darah berpindah ke sel bagi membolehkan sel berfungsi.

Bagaimanapun, jika proses pemindahan tidak berlaku (akibat kekurangan insulin), darah mempunyai berlebihan gula dan berlakulah masalah kencing manis.

Masalahnya ialah, kencing manis berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari. Jika anda ada ahli keluarga yang menghidap kencing manis, bermakna anda perlu lebih berhati-hati kerana risiko mendapat penyakit ini sentiasa ada.

Kencing manis lebih kerap berlaku pada individu yang terlalu gemuk atau obes kerana badan memerlukan banyak insulin bagi memastikan paras gula dalam darah berada pada tahap normal.

Sebagaimana penyakit kronik lain, kencing manis tidak menunjukkan gejala atau tanda. Namun, ia boleh dikesan melalui ujian darah. Ini sebabnya kita disaran menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh atau setidak-tidaknya ujian darah setahun sekali supaya masalah dapat dikesan awal.

Menurut Panduan Perubatan Merck Edisi Kedua, diabetes boleh menyebabkan pelbagai komplikasi iaitu kepada:

  • Salur darah — Pengumpulan lemak dalam salur darah (besar dan sederhana) boleh menghalang aliran darah ke organ seperti jantung, otak, kaki dan zakar. Ia juga merosakkan dinding salur darah yang halus dan ini menyebabkan penghantaran oksigen ke organ terhenti. Salur darah juga mungkin boleh pecah akibat masalah ini.

    Komplikasinya: Aliran darah yang tidak baik mengakibatkan luka lambat sembuh dan meningkatkan risiko sakit jantung, strok, gangren (kematian dan kemerosotan anggota tubuh akibat kekurangan darah) pada kaki dan tangan, masalah mati pucuk dan memudahkan jangkitan. Ini sebabnya ramai pesakit kencing manis berdepan kemungkinan kaki dipotong apabila luka pada kaki menjadi kudis besar dan sukar disembuhkan.

  • Mata — Salur darah halus yang menghantar oksigen ke retina boleh rosak dan menjejaskan pandangan. Keadaan ini dipanggil retinopati diabetes dan ia punca utama masalah kehilangan penglihatan di kalangan pesakit kencing manis. Pesakit boleh menjadi buta jika kencing manis terus tidak terkawal.

  • Buah pinggang — Salur darah dalam buah pinggang menebal, mengalami kebocoran protein dalam air kencing dan buah pinggang gagal menapis darah dengan baik. Keadaan ini lama kelamaan menyebabkan kegagalan buah pinggang.

  • Saraf — Ada dua perkara yang boleh menyebabkan kerosakan saraf pesakit kencing manis iaitu berlebihan glukosa (kerana ia tidak dapat digunakan sepenuhnya) dan kekurangan bekalan darah.

    Komplikasinya: Kepekaan deria sentuh pada kaki atau tangan contohnya merosot secara perlahan-lahan, kebas dan kadangkala berasa sakit. Jika kencing manis terus tidak terkawal, ia merosakkan saraf.

  • Sistem saraf autonomik — Saraf yang mengawal tekanan darah dan proses penghadaman mengalami kerosakan. Akibatnya pesakit mengalami masalah tekanan darah yang turun naik, susah menelan makanan, fungsi sistem pencernaan berubah sedikit dan mungkin selalu cirit-birit.

  • Kulit — Aliran darah ke kulit tidak lancar dan kulit menjadi kurang sensitif terhadap sentuhan atau tekanan yang boleh menyebabkan luka berulang. Pesakit mengalami kerengsaan, luka tekanan (terutama pada bahagian badan yang sentiasa mengalami tekanan) dan sukar sembuh.

  • Darah — Fungsi sel darah putih sebagai pelindung badan daripada jangkitan turut terjejas. Akibatnya pesakit mudah mengalami jangkitan, terutama jangkitan salur kencing dan pada kulit.

    Pesakit kencing manis juga perlu memberi lebih tumpuan pada penjagaan kaki. Kajian menunjukkan 25 peratus pesakit mengalami masalah kaki akibat kencing manis akibat komplikasi seperti disenaraikan di atas.

    Penjagaan kaki ini perlu dijadikan rutin harian bagi mengelak masalah serius. Malah, luka kecil pada kaki juga perlu diberi perhatian khusus sebelum ia menjadi kudis besar kerana luka pada pesakit kencing manis biasanya lambat sembuh.

    Amalan

    > Periksa kaki setiap pagi selepas mandi.

    > Cuci kaki dengan air suam.

    > Keringkan kaki, terutama di celah jari. Boleh sapu bedak di celah jari, tetapi jangan gunakan losen kerana ia boleh menggalakkan jangkitan (kerana kaki sentiasa lembap).

    > Potong kuku kaki setiap minggu.

    > Pakai kasut selesa. Kalau boleh, pakai stokin dan kasut sepanjang masa untuk mengelak kaki terkena objek yang boleh menyebabkan luka. Bagi orang Melayu, anda boleh memakai selipar dalam rumah.

    > Jika ada luka, cepat-cepat rawat hingga sembuh.

    > Berhenti merokok. Merokok mengurangkan lagi aliran darah ke kaki.

  • Oleh itu marilah bersama-sama beringat-ingat..sayangilah jasad anda...

    Isnin, 9 Julai 2007

    JERAWAT DAN ANDA..

    Dalam dunia serba mengejar kecantikan dan kemewahan ini kita tidak terlepas dari masaalah menilai penampilan. Ya..memang benar.,jika kita cantik pasti ramai akan tertarik dan sering memandang dan kita pula selalu nak control " macho " atau "cute" tapi bagaimana jika wajah kita dikerumuni " noda / tanda cela"..he..he..jerawat ler tu..ayuh kita dalami kisah jerawat ini buat menambah koleksi ilmu wajah kita kali ini. Jerawat merupakan penyakit kulit yang paling biasa di kalangan golongan muda dan ia biasanya bermula apabila baligh. Tapak pertumbuhan jerawat ialah di muka, belakang badan dan dada. Ia disebabkan oleh perubahan hormon seks. Jerawat biasanya hilang bila dewasa. Jerawat boleh diminimakan dan parutnya boleh dikurangkan dengan penjagaan kulit yang rapi.

    Jerawat melibatkan kelenjar sekresi minyak (kelenjar sebum), liang roma dan bahagian hujung folikel rambut. Terdapat penyumbatan pada folikel rambut dan kelenjar sebum oleh sebum (minyak). Bakteria pada penyumbatan itu membiak dan menghasilkan nanah pada jerawat. Bila penyumbatan sebum itu terdapat dibawah kulit, ia dikenali sebagai bintik putih, dan apabila ia mencapai permukaan kulit, ia menjadi gelap dan dikenali sebagai bintik hitam.
    Fakta untuk diselami :

    - Peningkatan penghasilan hormon lelaki (androgen). Aras hormon ini meningkat pada
    kedua-dua lelaki dan perempuan semasa baligh.
    - Turun -temurun
    - Stres
    - Alam sekeliling - bekerja di tempat yang berminyak
    - Ubat-ubat tertentu, contohnya kortikosteroid
    - Makanan
    Walaupun tiada bukti yang jelas yang mengatakan bahawa coklat dan
    makanan-makanan yang lain boleh menyebabkan jerawat, sesetengah orang mendapati
    bahawa makanan-makanan tertentu boleh mengakibatkan jerawat. Elakkan makanan yang
    anda dapati boleh menyebabkan jerawat.

    Peranan Anda

    - Basuh muka and dengan sabun jenis mudah sekurang-kuranya dua kali sehari iaitu pada
    awal pagi dan sebelum tidur.
    - Jangan memicit, menyubit atau mencakar jerawat pada kulit anda.
    - Basuh rambut anda lebih kerap.
    - Gunakan krim anti jerawat yang menghalang liang dari tersumbat.
    - Jika anda menggunakan kosmetik, gunakan yang
    berasaskan air dan bukannya yang berasaskan minyak.
    - Jika jerawat terdapat pada bahagian belakang badan atau dada, gunakan pakaian yang
    ringan dan tidak ketat.
    - Bersenam selalu.
    - Elakkkan stres sebaik yang mungkin.
    - Amalkan pemakanan yang seimbang dengan meningkatkan pengambilan
    sayur-sayuran dan buah-buahan.
    - Elakkan penggunaan minyak rambut.
    - Basuh tangan anda dengan kerap dan elak menyentuh muka tanpa sebab.
    - Runding dengan seorang doktor jika jerawat tidak menghilang. Jika anda diprekskripsi
    dengan sebarang ubat, ikut arahan doktor atau pegawai farmasi anda dengan ketat.

    Peranan Doktor Anda

    - Mensyorkan ubat anti jerawat yang bersesuaian.
    - Mempreskripsi antibiotik, jika didapati perlu.
    - Mempreskripsi tablet Vitamin B kompleks.
    - Mengelakkan pemarutan, jika boleh.
    - Mengelakkan timbulnya jerawat-jerawat yang baru
    - Merawat kelemumur pada kulit kepala.

    Hmm..oleh itu sayangilah wajah anda dan manjakanlah diri dengan kebersihan..tapi..kan..ingat juga hati pun nak kena bersih jangan diisi dengan hasad dengki,sangka buruk dan macam-macam sifat tak baik sebab kalau wajah ajer cantik tapi kureng sikap sopan santun maka cahaya keindahan ketrampilan wajah takkan berhasil..buat sedap mata memandang tapi hati tak berapa senang..sakit memanjang...he.he..ok..cukup untuk post kali ni..bye.

    Jumaat, 6 Julai 2007

    GOUT

    Dalam kesibukan tugas dan berbicara bersama teman-teman terlintas aku pada beberapa teman yang menderita sakit gout dan penderitaan yang dialami buat aku meneroka informasi dimana-mana untuk panduan mereka dan anda juga..Gout?..apa itu gaut..? Gout adalah sejenis penyakit yang dicirikan dengan kesakitan dan pembengkakan sendi yang berulang, khasnya berlaku di kalangan kaum lelaki muda atau pertengahan tahun. Ia biasanya bermula dengan satu sendi pada satu masa dan lazimnya sendi pada tapak ibu jari kaki. Paras asid urik dalam darah adalah tinggi dalam gout. Hal ini merupakan akibat daripada ketidakupayaan kimia badan mengendalikan purin, iaitu satu sebatian nitrogen yang penting untuk tenaga. Purin boleh terbahagi kepada endogenus (disintesis dalam nukleus sel badan manusia) atau eksogenus (diperolehi dari makanan). Titik akhir metabolisme purin ialah asid urik yang dihasilkan dalam hati. Kebanyakan asid urik dikumuhkan oleh ginjal melalui air kencing manakala sebahagian pula disingkirkan melalui usus. Proses-proses tersebut mengekalkan paras asid urik dalam lingkungan yang normal. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, badan menghasilkan terlalu banyak atau menyingkirkan terlalu sedikit asid urik dan seterusnya mengakibatkan paras asid urik yang tinggi dalam darah. Dalam gout, hablur natrium urate termendak pada dan di sekeliling sendi serta tisu lembut dan menyebabkan kesakitan serta keradangan. Hablur-hablur ini juga boleh berkumpul dalam ginjal dan mengakibatkan batu karang urate malah kerosakan ginjal.

    Sebab terjadinya gout:

    1. Peningkatan penghasilan asid urik.

    Ini mungkin disebabkan oleh:

    - Faktor keturunan tertentu yang mengakibatkan penghasilan purin yang lebih
    banyak
    - Sesetengah penyakit darah yang melibatkan peningkatan pemecahan sel,
    sesetengah penyakit kulit yang teruk dan sebagainya.

    2. Pengurangan penyingkiran asid urik.
    Ini mungkin disebabkan oleh:

    - Penyakit ginjal yang berterusan.
    - Sesetengah ubat yang diambil, misalnya diuretik.
    - Pengurangan penyingkiran air dari badan dalam sesetengah penyakit,
    contohnya tekanan darah tinggi, kebuluran.

    Tanda Dan Gejala - Gout Akut

    Satu serangan akut bermula apabila terdapatnya peningkatan paras asid urik secara mendadak dalam darah. Apabila darah diuji, asid urik dalam darah didapati melebihi 420 milimol setiap liter (7mg setiap 100ml). Satu serangan akut boleh dicetuskan oleh berbagai-bagai faktor, misalnya pengambilan purin yang tinggi dalam diet, penggunaan alkohol yang berlebihan, tekanan, jangkitan, kecederaan sendi dan sesetengah jenis rawatan.

    - Serangan adalah secara mendadak dengan kesakitan, kemerahan dan pembengkakan
    yang teruk, biasanya pada tapak ibu jari kaki. Tapak jangkitan lain yang kerap dipengaruhi
    termasuklah sendi kaki, pergelangan kaki, lutut, pergelangan tangan dan jari. Jika tidak
    dirawat, serangan boleh berterusan selama beberapa hari atau minggu dan berhenti secara
    spontan. Serangan boleh berlaku semula secara bulanan atau tahunan.
    - Kemungkinan terjadinya loya, perut kembung dan kesakitan abdomen secara samar-
    samar.
    - Pengumuhan air kencing yang lebih banyak dan kerap.
    - Demam yang ringan mungkin terjadi.

    Tanda Dan Gejala - Gout Kronik

    Dalam kes yang kronik, hablur mononatrium urate termendak pada sendi , di sekeliling sendi, rawan telinga serta ginjal dan menyebabkan kerosakan yang berkekalan.

    - Pemendakan pada rawan telinga boleh menyebabkan pembengkakan yang keras yang
    dikenali sebagai ‘tophi’.
    - Pada sendi, kemusnahan rawan dan hakisan tulang boleh menyebabkan kesakitan,
    kekakuan serta kecacatan sendi.
    - Kerosakan ginjal yang berterusan boleh menyebabkan pembentukan batu karang ginjal
    dan kegagalan ginjal.

    Rawatan

    Ubat Untuk Serangan Akut
    - Ubat anti-inflamatori bukan steroid

    Ubat-ubat ini kerap digunakan untuk merawat serangan akut, misalnya diclofenac, indomethacin dan ketoprofen. Ubat-ubat ini diberi untuk melegakan pembengkakan dan kesakitan. (Catatan: Aspirin harus dielakkan kerana ia mengurangkan penyingkiran asid urik dari ginjal).

    - Colchicine

    Ubat ini adalah berkesan untuk rawatan gout akut. Bagi pesakit yang mempunyai gout kronik yang kerap mengalami serangan, perubahan sendi atau paras asid urik yang tinggi, rawatan untuk jangka masa yang panjang diperlukan.

    - Corticosteroids

    Ubat ini hanya digunakan apabila pesakit tidak dapat bertoleransi dengan ubat anti-inflamatori bukan steroid. Ubat ini hanya digunakan untuk tempoh yang pendek.

    Ubat Untuk Rawatan Jangka Masa Yang Panjang
    Ubat-ubat ini dicadangkan apabila pesakit mempunyai beberapa serangan gout akut atau apabila hiperurisemia adalah disebabkan oleh defisiensi sesetengah metabolik semulajadi.

    - Ubat uricosuric, contohnya probenecid dan sulphinpyrazone

    Ubat-ubat ini meningkatkan penyingkiran asid urik dalam air kencing dengan menghalang penyerapan semula asid urik dalam ginjal.

    - Penyekat xanthine-oksidase, contohnya allopurinol-penyekat enzim

    Allopurinol ialah ubat pilihan bagi pesakit tua dan pesakit yang mempunyai sejarah gangguan ginjal dan gout tophaceous. Ia menhalang pembentukan asid urik. Kedua-dua ubat tersebut tidak harus dimulakan ketika serangan akut tetapi beberapa minggu selepas serangan akut. Setelah dimulakan, ia harus diteruskan untuk mencegah serangan yang seterusnya.

    Lakukan Amalan Yang Baik seperti :

    - Kurangkan pengambilan protein dalam diet, misalnya kekacang, bijiran dan daging merah.
    - Makan makanan yang kurang mengandungi purin, misalnya daging organ (hati, ginjal,
    otak, jantung, pankreas), ekstrak daging, angsa, itik, ayam belanda, telur ikan, sardin dan
    ikan hering.
    - Kurang minum bir, teh dan kopi.
    - Hadkan pengambilan lemak, khasnya golongan yang obes.
    - Minum air yang banyak (8 gelas sehari) untuk membersihkan ginjal.
    - Jangan mengamalkan diet pengurangan berat badan secara mendadak. Kekalkan berat
    badan yang sihat.

    Golongan berisiko :

    - Kaum lelaki- kaum lelaki merangkumi lebih daripada 90% pesakit gout.
    - Sejarah keluarga- 10-20% pesakit mempunyai sejarah keluarga gout.
    - ObesitI (kegemukan)
    - Hipertensi (tekanan darah tinggi)
    - Penggunaan alkohol
    - Prevalen adalah lebih tinggi dalam komuniti bandar berbanding dengan luar bandar.

    Aku harap info yang diatas tadi menjelaskan kesamaran apakah itu gout yang kekadang tu bagai misteri bagi sesetengah pesakit.