Jumaat, 11 April 2008

MINUMLAH AIR ..( SKY JUICE..LAH )


Apakah sumber kecantikan yang paling efektif di dunia? Jawapannya adalah segelas air kosong yang anda minum setiap hari. Air kosong dapat membantu anda mendapatkan tubuh yang kekal langsing, kulit yang cerah, serta bebas dari jerawat. Tetapi sayangnya, tidak ramai yang mempraktikkan amalan meminum air kosong ini terutamanya mereka yang sudah biasa minum minuman bergas dan minuman bergula. 8 gelas air kosong sehari boleh mengembalikan kesegaran tubuh. Jadi, jika anda inginkan wajah yang berseri dan badan langsing, air kosong harus dimasukkan dalam ‘menu wajib’ anda.

Anda boleh mempelbagaikan cara pengambilan seperti berikut :

1. Ketika bangun pagi, campurkan air kosong panas dengan perahan limau nipis atau lemon. Minum dan anda akan merasakan kesegarannya.
2. Pesanlah air mineral ketika anda makan di gerai atau restoran. Hindari soda atau air berkarbonat yang boleh menggemukkan.
3. Untuk kesegaran, tambahkan daun pudina, hirisan buah limau atau halia pada air kosong anda. Rasanya juga pasti berbeza.
4. Ketika cuaca sejuk, air kosong panas yang dicampurkan dengan madu dan lemon sudah cukup untuk memanaskan badan anda.

Kenapa Anda Perlu Minum Air?

Minum Air Kosong Kita semua memerlukan air sebagai nutrien penting bagi kehidupan. Air bagi memastikan sel dalam badan kita berfungsi dengan sempurna. Dianggarkan sebanyak 55 hingga 75 peratus tubuh badan kita terdiri daripada air. Seseorang dapat hidup hingga 70 hari tanpa makanan tetapi hanya bertahan hingga 10 hari sahaja sekiranya tiada air. Ini bermakna air sangat penting untuk kehidupan.

Air juga penting sebagai ajen yang membantu mengangkut nutrien dan bahan kumuh, membantu penyerapan makanan selain memastikan tahap suhu badan keadaan stabil.

Untuk sihat dan terhindar daripada penyakit, paling baik minum lapan gelas air dalam sehari. Yang baik adalah air suam, iaitu tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, minumlah dua gelas besar 1-2 jam sebelum sarapan, dua gelas besar 1-2 jam sebelum makan tengahari, dua belas besar 1-2 jam sebelum makan malam dan dua gelas besar 1-2 jam sebelum tidur malam. Lakukan secara disiplin, maka hasilnya akan terlihat dalam 2-3 bulan kemudian.

Air adalah keperluan kedua setelah udara bagi TUBUH anda!
Tubuh kita terdiri daripada 75% air dan 25% zat padat. Pernafasan dan perkumuhan dari badan akan melibatkan sebanyak 3 liter air sehari digunakan. Ini bermakna badan kita mengeluarkan lebih daripada 10 gelas air dalam masa sehari. Oleh itu, kita perlu mengembalikan semua air dalam badan secara teratur agar dapat mengekalkan paras air dalam badan. Ia sekaligus memastikan kesihatan sentiasa pada tahap optimum.

Berapa banyak yang seharusnya kita minum?
Dua liter air adalah jumlah minimum yang disyorkan oleh pakar kesihatan. Ini bermakna kita memerlukan lapan gelas besar air. Jika anda tinggal di kawasan yang bersuhu tinggi (panas) dan banyak melakukan aktiviti fizikal, maka anda memerlukan lebih dari lapan gelas air sehari.

Air dalam makanan kita
Kebanyakkan makanan yang kita ambil mempunyai ‘kandungan air yang rendah’ atau ia hilang ketika proses memasak. Jesteru, dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran segar (yang memiliki kandungan air yang tinggi) maka anda akan memperolehi sehingga lebih daripada satu liter air. Air yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran juga mempunyai pelbagai mikronutrisi yang mudah diserap oleh tubuh kita.

Melancarkan sistem penghadaman
Air membantu memindahkan zat-zat makanan melalui aliran darah ke seluruh bahagian tubuh yang memerlukan. Malah zat-zat makanan yang larut dalam air dapat diserapkan oleh air. Malah air memudahkan proses perkumuhan. Kekurangan air juga boleh menyebabkan sembelit. Air dapat membantu melancarkan sistem penghadaman dan melawaskan proses pembuangan.

Membantu menurunkan berat badan
Air juga dapat bertindak sebagai penahan nafsu makan secara semulajadi. Cukup dengan mengambil segelas air setiap kali anda berasa lapar. Kekurangan air menyebabkan anda makan secara berlebihan. Ini disebabkan mekanisme nafsu makan semakin meningkat ketika anda benar-benar kekurangan air.

Semakin sedikit kuantiti air yang diminum, semakin banyak tubuh kita mencuba menyimpannya untuk penggunaan nanti. Hasil dari penahanan air tersebut menyebabkan penambahan terhadap ukuran pinggang.

Bebas dari penyakit batu karang
Batu karang terjadi ketika sisa bahan yang tidak terpakai atau komponen lain yang melalui buah pinggang bergabung dengan komponen sampah yang lain. Maka terbentuklah batu kecil seperti pasir dan tumbuh sebesar batu jika kekurangan air. Jika kita banyak minum air, kerikil tersebut akan disingkirkan oleh air.

Selasa, 8 April 2008

CARI MASA UNTUK BERSENAM

Adakah anda cepat berasa letih? Jika ya! Ini bermakna anda perlu meneliti semula rutin harian anda. Anda perlu memperuntukkan masa untuk bersenam. Ini bermakna walau sesibuk mana pun jadual harian anda, anda tidak seharusnya lupa untuk bersenam. Tidak bersenam bukan sahaja akan membuat kesihatan tubuh anda terganggu, malah ia mengurangkan seri pada kulit anda, sekali gus nampak tidak bermaya. Jadi, luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk bersenam. Antara senaman senaman ringkas yang boleh anda amalkan ialah :

Menaiki Tangga
Hampir setiap pejabat mempunyai tangga. Jadi, apa kata jika anda menggunakan tangga berkenaan ketika bergerak ke mana-mana kerana ini secara tidak langsung membantu anda menegangkan otot paha dan betis. Bagaimanapun, pastikan anda tidak memakai kasut yang bertumit tinggi kerana ia akan mendedahkan anda kepada risiko kecederaan ataupun tergelincir. Jesteru, pastikan kasut yang anda pakai sesuai dan selesa dipakai selain menyakitkan kaki. Selamat mencuba!

‘Skipping’
“Skipping’ juga adalah antara senaman ringkas dan mudah yang boleh anda lakukan pada bila-bila masa sahaja. Anda hanya memerlukan seutas tali ‘skipping’ dan ruang yang mencukupi. Walaupun agak mudah tetapi manfaat yang bakal anda perolehi daripada ‘skipping’ hampir sama dengan jongging. Ia membantu menguatkan otot-otot lengan, perut, paha dan juga boleh mengurangkan lemak dalam badan anda.

Peregangan
Peregangan adalah antara perkara yang perlu anda berikan keutamaan sebelum melakukan sebarang senaman atau kerja-kerja lain. Peregangan penting untuk melegakan otot-otot anda dan bersedia untuk peringkat seterusnya. Peregangan juga dapat mengelakkan daripada berlaku kecederaan dan dapat memperbaiki ‘postur’ tubuh. Jadi, luangkan antara lima hingga sepuluh minit untuk melakukan peregangan.

Kajian menunjukkan kurang senaman menambahkan risiko serangan jantung. Senaman dapat menguatkan otot, menggalakkan aliran darah, mengelak kegemukan dan memberi keceriaan dalam kehidupan. Senaman juga mengurangkan serangan jantung, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat sakit jantung.

Jangan mulakan dengan senaman yang berat jika anda tidak pernah berbuat demikian. Ini mungkin dengan sendirinya menyebabkan serangan jantung. Apabila mengambil bahagian dalam sebarang program senaman jangan tergesa-gesa untuk meningkatkan aktiviti fizikal anda. Amalan yang baik patut dicontohi, misalnya janganlah menaiki kereta jika anda boleh berjalan kaki untuk ke sesuatu tempat. Ambillah bahagian di dalam sebarang aktiviti sukan yang anda gemari.

Manfaat berjalan kaki
Jalan kaki adalah latihan yang baik untuk memulakan senaman yang dapat meningkatkan kecergasan tubuh badan. Untuk memaksimumkan latihan anda, cubalah berjalan kaki, sekurang-kurangnya satu jam di pagi hari. Untuk hasil yang lebih baik, awasi degup jantung anda pada 70% dari degup jantung maksimum anda (degup jantung maksimum sama dengan 90 degupan). Jalan kaki juga akan menguatkan semua otot di kaki dan dari satu jam berjalan cepat akan membakar sekitar 300 kalori.

Untuk senaman yang efektif
Senaman meningkatkan daya tahan tubuh sehingga 80%. Tetapi jika anda tidak sihat, anda tidak digalakkan melakukan senaman. Untuk senaman yang efektif, jadualkan kekerapan bersenam antara 3 hingga 5 kali seminggu. Anggarkan masa untuk bersenam, minimum antara 10 hingga 20 minit setiap sesi. Tetapi sebelum bersenam, pastikan mulakannya dengan teknik memanaskan badan (warm up). Ketika bersenam, berikan tumpuan kepada aktiviti yang melibatkan seluruh tubuh badan seperti berlari, berjalan kaki, berbasikal, senaman aerobik, memanjat anak tangga dan berenang. Selepas tamat senaman, akhir aktiviti anda dengan menyejukkan badan (cool down)

Apa yang perlu ada dalam sesebuah program senaman?

* Sentiasa memulakan program senaman dengan melakukan latihan pemanasan selama 5 hingga 10 minit.
* Lakukan regangan untuk memperbaiki keadaan tubuh anda agar lebih fleksibel.
* Lakukan sedikit latihan aerobik bagi memperbaiki fungsi kardiovaskular.
* Pilihlah senaman yang mampu menggerakkan otot dan tulang anda.
* Diakhiri dengan senaman ringan selama 5 hingga 10 minit sambil menyedut nafas dalam-dalam.

Rabu, 19 September 2007

AWASI KESIHATAN - RAMADAN

Puasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi semua umat Islam yang berkuasa tanpa mengira lelaki, perempuan, tua ataupun muda sebagai menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Di samping menunaikan ibadat kepada Allah subhanahu wa ta’ala dengan harapan ganjaran yang dijanjikan, melalui puasa individu muslim itu akan mendapat kekuatan spiritual dan latihan disiplin diri terhadap tuntutan nafsu.

Meskipun setiap orang berkewajipan menunaikan puasa dan janji-janji lipatan pahala Allah adalah besar, namun Islam memberi kelonggaran bagi orang-orang yang tidak mampu mengerjakannya. Di dalam ayat 184, surah al-Baqarah, Allah subhanahu wa ta’ala berfirman: “sesiapa daripada kamu yang sakit ataupun dalam perjalanan (musafir), bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang dibuka pada hari yang lain.”

Ayat di atas merupakan nas yang jelas tentang kekecualian yang diberikan terhadap orang-orang tertentu seperti para musafir dan orang sakit. Kekecualian seperti ini tidak harus digunakan bagi kepentingan peribadi dan duniawi. Bahkan mereka yang berupaya wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan cara berpuasa pada hari yang lain. Hanya bagi yang tidak berupaya langsung dibenarkan membayar fidyah.

Artikel ini sekadar membicarakan beberapa isu berkaitan masalah kesihatan dan penjagaannya dalam mengharungi bulan puasa agar kita dapat menyempurnakan ibadat yang mulia ini dengan baik. Terlebih dahulu ada baiknya kita bicarakan beberapa perkara berkaitan dengan rawatan, khususnya dalam perubatan moden.

Bagi penyakit akut, yang kadang-kadang datang dengan tiba-tiba dan memerlukan pengambilan ubat-ubatan secara oral, wajarlah pesakit mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsi. Pesakit harus berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa ia boleh menimbulkan komplikasi yang tidak diingini. Di antara penyakit-penyakit akut yang dimaksudkan ialah demam, batuk, sakit kepala, sakit perut dan seumpamanya.

Bagaimanapun, adalah baik sekali seandainya doktor perubatan boleh mengatur waktu supaya pesakit boleh terus berpuasa dan mengambil ubat di waktu berbuka atau sebelum imsak. Tetapi janganlah dengan sebab berpuasa menyebabkan penyakit pesakit menjadi lambat sembuh. Jikalau puasa mengganggu proses ke arah kesembuhan ataupun keadaan boleh memudaratkan si pesakit, pesakit harus mengambil ubat mengikut jadual dan menggantikan puasa di bulan yang lain.

Ada pesakit yang berpuasa dan menerima rawatan suntikan di mana ubat boleh diambil di waktu malam. Dalam hal ini suntikan ubat tidak membatalkan puasa. Bahkan pesakit boleh terus berpuasa walaupun dia dimasukkan air sodium chloride atau darah di hospital atas sebab-sebab kesihatan. Memasukkan bahan-bahan berkenaan berbeza dengan memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang sudah tersedia.

Berkaitan dengan isu ini ialah rawatan penyakit mata seperti konjunktivitis. Terdapat di dalam rawatan moden dan homeopati di mana ubat diberi dengan cara menitiskan airnya ke dalam mata. Sekiranya rawatan ini dilakukan, jelas sekali ia membatalkan puasa kerana ia melibatkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan.

Bagi mereka yang mengidap penyakit-penyakit serius, keadaan yang menyebabkan mereka tidak boleh berpuasa mungkin disebabkan mereka terpaksa mengambil ubat-ubatan di dalam waktunya (termasuk sebelah siang) atau kemudaratan yang mungkin timbul kerana keadaan tubuh yang lemah atau berpenyakit. Bagi mendapatkan jawapan bagi persoalan sama ada mereka harus berpuasa atau tidak, perlulah si pesakit itu mendapat pandangan doktor dan ahli agama.

Di antara penyakit-penyakit serius mungkin termasuk pesakit jantung, pengidap AIDS, kanser, kencing manis, buah pinggang, epilepsi, asma, gastrik yang teruk, pendarahan dan lain-lain lagi. Komplikasi mungkin berlaku sekiranya mereka berpuasa berterusan selama sebulan. Umumnya mereka diberi keringanan meninggalkan puasa dengan menggantikannya pada bulan yang, melainkan mereka yang tidak boleh berpuasa langsung.

Kemungkinan memperoleh rawatan alternatif yang membolehkan seseorang itu berpuasa juga harus ditimbang sekiranya rawatan itu dapat membantu dan dapat memperbaiki keadaan kesihatan. Agama Islam tidak pernah membezakan di antara apa jua sistem rawatan yang wujud hari ini selagi ianya berkesan, tidak menyalahi akidah dan boleh membantu pesakit menjalani urusan harian atau beribadat. Kepercayaan bahawa setiap cabang ilmu itu datangnya daripada Allah subhanahu wa ta’ala adalah penting dalam memahami prinsip toleransi dalam memilih kaedah rawatan yang sesuai.

Seperkara lagi ialah berkaitan dengan prosedur diagnosis. Di dalam amalan perubatan moden terdapat bentuk-bentuk diagnosis yang mungkin membatalkan puasa. Sementara sebahagian daripada diagnosis itu pula boleh diatur terlebih awal. Di dalam hal ini, pesakit boleh merancang tarikh dan waktu diagnosis dengan doktor sekiranya kaedah diagnosis itu boleh membatalkan puasa.

Sebagai contoh ujian gastroskopi (gastroscopy), sigmoidoskopi (sigmoido-scopy) atau kolonoskopi (colonoscopy) adalah di antara kaedah diagnosis yang boleh membatalkan puasa. Sekiranya keadaan penyakit tidak mendesak, diagnosis boleh ditangguhkan atau dilakukan selepas bulan Ramadhan. Tetapi bagi kes-kes yang serius dan memerlukan tindakan segera, pesakit tidak harus menangguhkan temujanji yang telah dibuat. Puasa perlulah diganti pada hari yang lain.

Oleh kerana puasa merupakan suatu ibadat yang dijalankan untuk suatu jangka masa yang panjang, bukan sahaja persediaan rohani dan mental pesakit perlu kuat. Keadaan fizikalnya juga mesti kuat dan berdaya tahan. Kita selalu sebut bahawa salah satu implikasi positif puasa ialah dari segi memberi kerehatan yang cukup kepada sistem pencernaan. Demikian juga kepada anggota lain yang berhubungan secara tidak langsung. Ini ada benarnya.

Namun tanpa penjagaan kesihatan yang sempurna atau sikap mengambil berat terhadap pemakanan, seseorang boleh mengundang pelbagai penyakit di bulan puasa. Di antaranya ialah keracunan, cirit-birit dan taun. Ini berlaku kerana orang yang berpuasa memakan pelbagai jenis makanan dan membeli di gerai-gerai yang pemiliknya tidak peka tentang kebersihan. Lagi pun sebahagian daripada penjual di bulan puasa itu bukannya pernah menjadi peniaga melainkan di bulan puasa sahaja.

Selepas berlalu puasa selama beberapa hari, kerapkali ada pula aduan lain. Ini biasanya timbul daripada mereka yang mengalami masalah sembelit. Sememangnya sembelit merupakan satu masalah kesihatan yang lumrah, khususnya di bulan puasa. Ini berlaku apabila seseorang itu kurang meminum air dan alpa untuk mengambil makanan yang mengandungi serat. Sebaliknya makanan yang manis-manis sahaja yang dikejar sebagai juadah berbuka puasa.

Salah satu drama yang biasa menjadi buah mulut ialah serangan gastrik. Tetapi sebenarnya gastrik bukanlah sesuatu yang pelik. Oleh kerana pertukaran jadual makan, khususnya pada awal bulan puasa, memanglah ada orang yang perutnya sensitif akan merasa pedih bila tiba tengah hari. Kebanyakan individu menjadi biasa selepas beberapa hari. Bagi mereka yang tidak tahan dengan situasi berkenaan, terdapat beberapa kaedah untuk menghalang serangan sakit perut atau gastrik yang berkemungkinan besar diakibatkan oleh asid dalam perut. Di antaranya ialah dengan mengambil beberapa penawar homeopati dan biokimia tertentu.

Penyakit-penyakit lain yang kerap ditemui di sepanjang bulan Ramadhan ialah tonsilitis, syanker mulut, sakit kerongkong, batuk, selsema dan lain-lain. Ia boleh menyerang dengan mudah di bulan puasa bagi individu yang tidak peka dengan amalan kebersihan, makanan seimbang dan kesihatan. Apa lagi bagi mereka yang sudah sedia ada penyakit yang dihidapi secara berterusan.

Wanita yang hamil juga biasa mengalami masalah untuk meneruskan puasa. Masalah tersebut mungkin berkait dengan kesihatan diri ataupun bayi di dalam kandungan. Mereka yang mendapat alahan teruk ketika hamil seperti loya, muntah, sakit perut dan krem harus mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan. Bagi wanita hamil, Islam telahpun menetapkan kaedah-kaedah tertentu yang mengizinkan ibu-ibu meninggalkan puasa dan menggantikannya di kemudian hari.

Bagi semua individu muslim, mustahak diingatkan bahawa setiap individu harus mengambil jumlah air minuman yang mencukupi di bulan puasa. Kurangkan amalan mengambil terlalu banyak minuman dan kuih-muih yang manis. Sebaliknya banyakkan meminum air suam atau air masak. Begitu juga, janganlah terlalu gelojoh dengan menyumbat sebanyak mungkin makanan sewaktu berbuka puasa.

Adalah berfaedah sekiranya anda dapat mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan merokok. Banyakkan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau. Buah-buahan seperti khurma, buah tin, prun dan limau amat baik dijadikan sajian berbuka puasa dan bersahur sebelum memakan nasi. Makanlah secukupnya di samping memberi ruang untuk kita bernafas dengan selesa.

Bagi mereka yang merasa makanannya tidak membekalkan zat atau vitamin yang mencukupi, ada baiknya mengambil pil-pil tertentu seperti tablet vitamin B2, vitamin C dan multivitamin ataupun multimineral. Beberapa panduan lengkap berkaitan pemakanan boleh dirujuk kepada pakar pemakanan dan kesihatan maupun hospital.

Sekian..,selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh sabar.