Jumaat, 9 Mei 2008
TERCEKIK ATAU CEKIKAN
Mengendalikan masalah cekikan di kalangan orang dewasa/kanak-kanak dengan ketinggian melebihi 1.2 meter
Sekiranya mangsa berada dalam keadaan sedar:
1. Bercakap dengan mangsa
Jika mangsa boleh menjawab, bermakna dia dapat menggerakkan udara di dalam salur pernafasannya (boleh bernafas). Galakkan mangsa untuk batuk. Jika mereka berupaya batuk dengan kuat, tunggu dan awasi sahaja keadaan mangsa..
2. Lakukan sesuatu jika:
• Mangsa tidak dapat menjawab.
• Anda berpendapat bahawa tiada udara mengalir keluar dan masuk ke dalam salur pernafasannya (mangsa tidak bernafas).
• Mangsa hilang keupayaan untuk batuk dengan kuat.
Tindakan yang boleh dilakukan
Untuk mangsa yang sedang berdiri:
Berdiri di belakang mangsa. Letakkan sebelah tangan anda di atas genggaman tangan yang sebelah lagi di tengah-tengah badan mangsa iaitu betul-betul di bawah hujung tulang dada. Sekiranya mangsa terlalu tinggi, baringkan mereka di atas permukaan yang rata. Lakukan tekanan dengan cepat dan padu ke dada mangsa ke dalam dan ke atas. Lakukan sehingga benda yang tersekat itu terkeluar dari tekak.
Bagi mangsa yang terbaring di atas lantai:
Telentangkan mangsa di atas permukaan yang rata dan keras. Duduk melutut dengan mangsa berada di tengah-tengah. Letakkan pangkal sebelah tangan anda di tengah abdomen mangsa (di bawah tulang dada) dengan tangan yang sebelah lagi menekan di atasnya. Kemudian lakukan tekanan dengan cepat dan padu ke dada mangsa dengan membongkok sedikit ke hadapan.
Sekiranya mangsa tidak sedarkan diri:
1. Periksa laluan udaranya (salur pernafasan)
• Buka mulut mangsa dengan memegang rahang bawah dan lidah dan menolaknya ke bawah.
• Jika anda dapat melihat sesuatu, masukkan jari anda di satu sisi tekak dan dengan menggerakkan jari anda ke sisi satu lagi, cuba mengorek keluar benda yang tersekat itu.
• Jika mangsa tidak bernafas dengan spontan walaupun anda berjaya mengeluarkan benda yang tersekat, berikan 2 hembusan nafas yang cepat melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut.
• Jika dada mangsa tidak bergerak naik, hembusan nafas yang anda berikan seperti terhalang oleh sesuatu dalam salur pernafasan mangsa atau anda tidak berjaya mengeluarkan benda yang tersekat di tekak, anda perlu bertindak segera.
Tindakan anda
• Baringkan mangsa melentang. Duduk melutut merentang dengan mangsa berada di tengah-tengah. Letakkan tapak sebelah tangan anda di bahagian bawah tulang dada dengan tangan satu lagi di atasnya.
• Dengan membongkok ke hadapan, tekan abdomen mangsa dengan cepat dan padu beberapa kali.
Mengendalikan masalah cekikan di kalangan orang dewasa/kanak-kanak dengan ketinggian kurang dari 1.2 meter
1. Sekiranya kanak-kanak dalam keadaan sedar:
Perhatikan bayi/kanak-kanak berkenaan: Jika mereka tidak bernafas, tidak boleh menangis atau batuk dengan kuat, terus ke langkah 2.
2. Jika kanak-kanak tidak sedarkan diri:
• Periksa saluran udara mangsa.
• Buka mulut mangsa dengan memegang rahang bawah dan lidah dan menolaknya ke bawah.
• Jika anda terlihat objek yang tersekat, masukkan jari anda di satu sisi tekak dan dengan menggerakkan jari anda ke sisi satu lagi, cuba mengorek keluar benda yang tersekat itu.
• Jika mangsa tidak bernafas dengan spontan walaupun anda berjaya mengeluarkan benda yang tersekat, berikan 2 hembusan nafas yang cepat melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut.
• Jika dada mangsa tidak bergerak naik, hembusan nafas yang anda berikan seperti terhalang oleh sesuatu dalam salur pernafasan mangsa atau anda tidak berjaya mengeluarkan benda yang tersekat di tekak, terus ke langkah 2.
3. Kedudukan menelungkup/meniarap
Letakkan bayi/kanak-kanak dalam keadaan meniarap. Ampu kepala dan badannya di atas lengan anda. (Anda perlu duduk untuk memudahkan proses ini).
4. Teknik tepukan belakang
Tepuk belakang bayi/kanak-kanak dengan cepat dan padu menggunakan dasar tapak tangan, di bahagian antara tulang kipasnya sebanyak 4 kali.
5. Telentangkan bayi/kanak-kanak
Pusingkan bayi supaya menelentang dengan mukanya memandang ke atas. Ampu kepala dan badannya di atas lengan anda. (Anda perlu duduk untuk memudahkan proses ini).
6. Teknik lonjakan dada
Dengan menggunakan 2 jari, tekan tulang dada bayi/kanak-kanak sebanyak 4 kali dengan cepat.
7. Teruskan langkah 2-5 sehingga objek yang tersekat dapat dikeluarkan.
INGAT.....
• Jangan panik. Bertenanglah dan ikuti arahan yang dinyatakan di atas. Jika anda gagal mengeluarkan objek yang tersekat, dapatkan rawatan kecemasan segera di hospital
Rabu, 7 Mei 2008
BUASIR

Buasir adalah pembengkakan pada vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia mengganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah. Buasir terjadi disebabkan oleh terlalu banyak tekanan di bahagian rektum, menyebabkan dinding vena darah teregang atau memberi dan membonjol. Kadangkala ianya boleh pecah.
Ada dua jenis buasir : Dalaman dan Luaran
• Buasir Dalaman:
Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir dalaman tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang getas dan menyebabkannya berdarah. Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana darah tersebut mungkin datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser kolorektum.
• Buasir Luaran
Buasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit. Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang atau memberi dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan berbanding dengan yang dahulunya.
PENYEBAB UTAMANYA
• Sentiasa duduk
• Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
• Cirit-birit
• Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama
• Batuk yang teruk
. Bersalin
• Mengangkat berat
PENCEGAHAN
Mengelak dari melakukan perkara-perkara di atas boleh mencegah anda dari buasir. Amalkan petua-petua berikut:
• Jika pekerjaan anda memerlukan anda sentiasa duduk, sekali-sekala anda perlu bangun dan berjalan-jalan sekurang-kurangnya 5 minit setiap jam. Bergerak-geraklah di kerusi anda supaya dapat mengelakkan tekanan langsung dari rektum.
• Hembuskan nafas keluar apabila anda ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu. Jangan menahan nafas anda.
• Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk, cirit-birit dan sembelit anda kerana buasir selalunya terjadi selepas masalah ini berpanjangan.
• Jadikan sebagai satu peraturan: Jangan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas. Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih dari 3-5 minit, ada sesuatu yang tidak kena. Jika anda ingin menghindari diri dari buasir, amalkan tabiat membuang air besar yang baik. Pastikan najis anda sentiasa lembut.
Jika langkah-langkah ini gagal anda perlu bertindak segera. Sembelit merupakan satu keadaan di mana pada waktu pagi keadaannya adalah sederhana tetapi apabila menjelang malam ia boleh menjadi amat mengazabkan.
RAWATAN
Terlebih dahulu anda perlu mengenalpasti penyebabnya, kemudian jauhkan diri anda darinya. Tiada gunanya anda merawat buasir tersebut kemudiannya anda meneruskan semula amalan yang boleh mencetuskan semula keadaan ini. Apabila anda telah bertekad untuk menghapuskan faktor-faktor pencetus buasir, maka barulah anda boleh merawatnya. Terdapat dua matlamat untuk merawat buasir. Pertamanya menghentikan gejala atau simptom (sakit, pedih dan gatal). Keduanya ialah mengecutkan buasir tersebut.
• Mandian Sitz (rendamkan bahagian rektum ke dalam air suam) untuk selama 15-20 minit, 3 hingga 4 kali sehari. Rawatan ini sangat mudah dan berkesan untuk mencapai kedua-dua matlamat di atas.
• Anda boleh membeli ubat krim buasir dan supositori untuk menghilangkan gangguan dan kesakitan tetapi ianya tidak boleh mengecutkan buasir.
• Untuk mengecutkan buasir kepada saiz asalnya, pengubatan semasa adalah berguna.
• Cucikan seluruh bahagian rektum dengan air suam setiap kali anda membuang air besar dan gunakan julap serat pukal (bulk fibre laxative) untuk melembutkan najis. Ini boleh mengelak anda dari meneran semasa membuang air besar.
• Kebanyakan orang mengambil ubat tambahan serat pukal ini setiap hari untuk mengelak dari buasir. Tetapi perlu diingat bahawa serat pukal ini mengambil masa beberapa hari untuk memberi kesan. Jika anda sedang menghidapi buasir dan membuang najis yang keras anda mungkin memerlukan ubat atau julap yang dapat melembutkan segera najis anda untuk mengelakkan anda dari meneran yang boleh memburukkan lagi buasir anda.
• Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konsevatif, rawatan yang standard boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah (rubber band ligation). Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir tersebut. Dalam masa 7 hingga 10 hari buasir tersebut akan tertanggal keluar. Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman sahaja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Tetapi anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.
• Koagulasi Inframerah- sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Anda mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan terdapat sedikit pendarahan berlaku dalam beberapa hari selepas itu. Prosedur ini sama juga seperti ikatan lingkaran getah, dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Tetapi ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan.
• Elektrokoagulasi bipolar - Prosedur ini dikenali juga dengan nama Bicap, adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan yang sama.
• Terapi laser- pancaran laser akan mengewapkan tisu buasir. Tetapi prosedur ini didapati lebih mahal dan tidak menunjukkan sebarang kelebihannya dari prosuder-prosedur lain. Ianya perlu dijalankan dengan berhati-hati dari segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelakkan pendarahan dan kesakitan kepada pesakit.
Pembedahan biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila kedua-dua jenis buasir tersebut menjadi semakin teruk dan rawatan-rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya. Kaedah ini didapati berkesan tetapi pesakit .
terpaksa tinggal di dalam hospital sehari dua dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding dengan pendekatan-pendekatan lain.
BILAKAH ANDA PERLU BERJUMPA DOKTOR?
Rawatan yang agresif seperti yang dinyatakan di atas sepatutnya boleh menyembuhkan buasir dalam beberapa hari sahaja. Tetapi ia mungkin mengambil masa 2 - 4 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika tidak, anda perlu berjumpa doktor semula dan berbincang dengannya. Masalah-masalah perubatan penyakit keradangan usus atau jangkitan usus boleh menyerupai gejala-gejala buasir. Oleh itu, jika keadaan anda masih berterusan walaupun telah mendapat rawatan asasnya, anda perlu berjumpa doktor.
PENGURUSAN SENDIRI
• Banyak meminum air sekurang-kurangnya 1.5 - 2 liter sehari
• Makan makanan seimbang: banyakkan memakan makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
• Gunakan tandas pada masa yang ditetapkan seperti selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
• Elakkan dari memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
• Apabila terdapat gejala-gejala tertentu (seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur), berjumpalah doktor.
Pencegahan adalah memberi lebih makna kepada anda dari mengubati.
Khamis, 1 Mei 2008
Buah Pinggang dan Anda
Proses metabolisma di dalam badan berlaku setiap masa. Melalui proses ini, badan akan menyerap segala nutrien yang diperlukan dan mengeluarkan sisa-sisa / toksin yang tidak diperlukan. Buah pinggang berfungsi untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa ini melalui pembuangan air kencing dan peluh yang bertujuan mengimbangkan kandungan air, elektrolit nuklear dan keseimbangan pH dalam badan.
Mengamalkan minum air kosong dengan kuantiti yang banyak (8 gelas) setiap hari sebenarnya dapat membantu badan mengeluarkan sisa-sisa yang dihasilkan daripada proses metabolisma, mengurangkan keracunan dalam badan dan secara tidak langsung dapat menghindari daripada serangan sakit buah pinggang. Kadar proses metabolisma di dalam badan akan meningkat / lebih aktif sekiranya kita sakit / demam, maka semakin bertambahlah bahan-bahan sisa dan racun-racun dalam badan yang perlu dikeluarkan. Oleh itu, disarankan supaya kita banyakkan mengambil air kosong bagi memudahkan proses perkumuhan.
Kebiasaannya, sakit buah pinggang hanya dapat dikesan ketika dalam keadaan yang telah kritikal. Kenapalah ini boleh berlaku? Sebenarnya, terdapat simptom-simptom tertentu yang menunjukkan buah pinggang seseorang itu bermasalah, namun ianya kurang dititikberatkan kerana tiada kesan luar biasa yang berlaku.
Tanda-tanda Awal Masalah Buah Pinggang?
Bengkak air
Bengkak air dapat dikesan sekirang berlaku kebengkakkan pada bahagian mata dan muka. Kebengkakkan ini hanya berlaku pada sebelah pagi dan kembali normal di sebelah petang. Selain itu, sekiranya seseorang itu berada dalam situasi kepenatan, kebengkakkan ini juga akan bertambah. Bengkak air yang serius akan menunjukkan kesan dimana-mana bahagian pinggang hingga ke kaki seperti kebengkakkan di buku lali.
Tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi yang berpunca daripada masalah buah pinggang adalah sama dengan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada penyakit lain. Ia mengakibatkan sakit kepala, pening, rabun dan berdengung di telingga.
Pemeriksaan tekanan darah secara berkala atau kerap penting untuk memastikan tekanan darah berada di dalam keadaan normal. Ramai orang mengabaikan pemeriksaan ini disebabkan mereka telah lali dengan simptom-simptom seperti di atas dan tidak mengambil tindakan selanjutnya.
Sakit pinggang
Seringkali menghadapi masalah kesakitan di bahagian pinggang secara berkala ataupun berterusan.
Kencing terlalu banyak atau terlalu sedikit
Kuantiti air kencing orang normal adalah antara 1000ml - 2000ml setiap hari dengan puratanya 1500ml setiap hari. Tidak kiralah banyak atau sedikit kencing, ia kemungkinan tanda-tanda masalah buah pinggang. Perlu diambil perhatian, sekiranya seseorang itu kerap membuang air kecil di sebelah malam.
Keputusan ujian air kencing yang tak normal
Sekiranya setelah menjalani pemeriksaan air kencing, ujian mendapati terdapat unsur protein, sel merah, sel putih, bentuk organ dan glukosa di dalam air kencing, seseorang itu dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan yang lebih lanjut.
Jangan sehingga sudah terhantuk baru terngadah..rajinlah berjumpa doktor jika ada simptom luarbiasa berlaku dibahagian belakang tubuh anda dan paras pinggang anda.