Ahad, 29 Julai 2007

GASTRIK DAN ULSER


Antasid adalah kumpulan produk farmaseutikal yang digunakan untuk merawat masalah tidak hadam, perut yang tidak selesa selepas memakan makanan yang banyak, sakit atau pedih hulu hati dan penyakit ulser peptik.


Apakah sistem Gastrousus?

Sistem gastrousus dikenali juga sebagai sistem penghadaman. Ia terbahagi kepada bahagian atas dan bawah. Sistem penghadaman bahagian bawah terdiri daripada esofogus, perut, deudenum, jejunum dan ileum.

Dalam keadaan normal, esofogus menyalurkan makanan dari mulut ke dalam perut melalui proses peristalsis (pengecutan dan pengenduran otot). Di hujung bahagian bawah esofogus terdapat sfinkter yang membenarkan dan mengawal makanan masuk ke dalam perut serta menghalang kandungan dalam perut untuk masuk semula ke dalam esofagus. Proses di mana makanan dalam perut masuk semula ke dalam esofogus dikenali sebagai refluks.

Perut terdiri daripada dua bahagian: proksimal dan distal yang berfungsi untuk mengosongkan bahan yang berbentuk cecair dan pepejal. Di perut terdapat sfinkter yang mengawal pengosongan perut. Perut yang mengeluarkan beberapa jenis rembesan seperti enzim pepsin dan asid hidroklorik yang menjadikan jus dan cecair gastrik yang diperlukan untuk mencerna makanan. Rembesan cecair gastrik berlaku dalam beberapa keadaan atau fasa. Dalam fasa sefalik, rembesan perut dapat dihasilkan biarpun ketika seseorang sedang berpuasa. Dalam fasa gastrik, kehadiran makanan dalam perut akan merangsang rembesan perut. Satu lagi fasa ialah intestinal. Dalam fasa ini, rembesan boleh direncat atau dirangsang oleh beberapa jenis bahan kimia.

Faktor merangsang dan merencat rembesan perut

Terdapat beberapa bahan kimia dalam perut yang boleh merangsang penghasilan cecair atau rembesan perut. Antaranya ialah asetilkolin, hormon gastrin, histamin dan enzim protein kinase. Bahan-bahan kimia ini dihasilkan daripada rangsangan bahan seperti asid amino, peptid, alkohol dan kalsium.

Sebaliknya, tedapat beberapa bahan yang boleh merencat rembesan perut. Antaranya ialah bahan berlemak, larutan yang tinggi kepekatannya dan kandungan gula yang tinggi dalam darah. Rembesan perut boleh menghakis dan mencederakan lapisan dalam perut. Namun, lapisan gel mukus yang dihasilkan dalam perut mampu melindungi perut daripada sebarang kecederaan dan dengan cepat. Proses ini biasanya memakan masa sehingga 30 minit. Proses pertahanan dan pembaikan lapisan perut dan usus merupakan faktor utama yang menentukan kejadian ulser peptik.

Bahagian duodenum menerima dan menyimpan makanan yang telah dihadamkan. Makanan itu kemudiannya disalurkan ke bahagian distal perut. Di sini rembesan gastrik bercampur dengan makanan sebelum disalurkan ke bahagian duodenum (bahagian atas usus kecil). Kadar pengosongan perut dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti hormon, larutan yang pekat, larutan berasid, bahan berlemak dan perut yang distensi (kembung).

Perut sentiasa terdedah kepada persekitaran luar kerana pelbagai bahan dapat masuk ke dalamnya. Inflamasi atau radang yang akut (segera) atau kronik (berpanjangan) dapat berlaku kepada sistem gastrousus jika mekanisme pertahanan gagal mengawal keadaan.

Jenis gangguan sistem gastrousus

Terdapat dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus:

a) Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus

Refluks gastroesofagus

Aliran kandungan daripada perut atau deudenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.

Gastritis

Inflamasi pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebakan keradangan ialah ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.

Esofagitis

Inflamasi pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum. Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.

Dispepsia (bukan ulser)

Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan penghadaman.



Ulser akibat ubat dan bahan kimia

Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat, alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.

Ulser akibat tekanan

Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan esofagus akibat tekanan emosi.

b) Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus


Gastritis kronik

Berlaku kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat antara masalah ini dengan tabiat merokok.

Penyakit ulser peptik

Secara umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada bahagian lapisan perut.

Selain itu, ia ada kaitan dengan kesan menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius. Kos rawatan agak mahal kerana ia melibatkan kemasukan ke haspital, kos profesional kesihatan dan kos ubat-ubatan serta kos daripada sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama.

Ulser gastrik

Merujuk kepada ulser perut. Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.


Kesakitan dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60 hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan kehilangan berat badan.

Ulser duodenal

Ia disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah rasa sakit.

Antara faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol, tekanan, asid dan pepsin, dan kuman bakteria Helicobactor pylori.

Rawatan

Pesakit boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua in bergantung kepada tahap serta jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika rungutan berkaitan dengan maslah bahagian atas sistem gastrousus seperti gastritis akut tanpa pendarahan dan redluks, pesakit boleh mengamalkan swa-pengubatan dengan berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat yang sesuai. Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit mengalami serangan akut atau maslah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan emosi.

Individu yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut harus dirujukkan kepada doktor. Pemerhatian doktor sangat penting jika individu mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser gastrik.

Beberapa kelas ubat-ubatan boleh digunakan bergantung kepada jenis dan tahap masalah tersebut. Secara ringkas, ia terdiri daripada kumpulan antasid, kumpulan antibiotik, kumpulan antagonis (atau penghalang) reseptor H2, penghalang pam asid dan ubat-ubatan pelindung lapisan mukosa.

Dengan adanya pengetahuan tentang proses berlaku gastitis dan ulser, faktor penyebab dan rawatan yang tepat, masalah yang dihadapi oleh individu boleh dirawat.Namun apa sahaja yang melibatkan ketidakselesaan yang melibatkan abdomen kita..segeralah berjumpa doktor..ok..disini sahaja yang mampu saya bantu bagi maklumat gastrik kepada yang bertanya...SELAMAT MENIMBA ILMU!..

Jumaat, 27 Julai 2007

KANSER PAYUDARA


Selamat bertemu kembali.dan terima kasih pada puan Lina yang minta saya mengutarakan hal kanser payudara dan saya harap info ini dapat membantu beliau dan rakanitanya..ok..ada lanjutan sila bertanya..anda dialu-alukan disini.

1) Epidemiologi:
Kanser payudara adalah kanser yang paling biasa berlaku di antara kaum wanita, bukan sahaja di Amerika Syarikat (210 000 kes setahun), malah di semua negara membangun. Antara kejadian : antara 8-9 orang wanita, seorang daripadanya akan menghidap kanser payudara, ia bergantung kepada negara mana. Kejadian ini terus meningkat 1 hingga 2% setiap tahun, tetapi tahap kematian makin stabil pada sepuluh tahun yang lepas. Kanser Payudara masih sebagai penderitaan masyarakat di negara barat : terutamanya di Amerika Syarikat , Kanada, Eropah Barat, Australia , New Zealand. Pada masa ini, lebih dari 1 juta wanita di Amerika Syarikat menghidap kanser payudara peringkat II, III atau IV. Walaupun sains perubatan belum dapat membanteras kanser ini, kemajuan dalam diagnosis dan terapi dapat merawat ramai pesakit.
Namun demikian, risiko bukan di luar tafsiran sebab ia terlalu kerap: risiko sebenar ialah 13%, dan peninjauan baru-baru ini menunjukkan bahawa 89% kaum wanita di luar tafsiran bagi kanser ini : purata tafsiran 46% dari 13% yang sebenar. Jangan bimbang !
Jangan lupa sebanyak 1000 orang lelaki dipengaruhi setiap tahun di Amerika Syarikat.

2) Faktor Risiko:
Bahkan apa yang menyebabkan kanser payudara tidak diketahui dengan tepat, kanser ini pada umumnya diakui adalah akibat dari perubahan genetik, kebanyakan didapati selepas lahir. Kadang-kadang ia diwarisi dari salah seorang ibubapa : dikenali sebagai predisposisi genetik kepada kanser payudara.

Sehingga sekarang, 2 predisposisi genetik telah dikenalpasti. (lain-lain seperti BRCA3, sedang diselidik): BRCA1 dan BRCA2, yang perlu ditentukan di dalam kes kanser di dalam keluarga.

Faktor risiko yang utama:
- jantina: 100 wanita, 1 lelaki;
- umur: 50 tahun ke atas
- kelainan yang ditemui melalui biopsi payudara
- Akilbaligh awal dan lambat putus haid;
- tidak pernah mengandung atau lewat mengandung.
Penyebab lain yang disahkan tetapi dengan kadar risiko rendah: - persekitaran (cara hidup, kedudukan sosial, makanan), - kegemukan semasa muda, - rawatan hormon, - tembakau, - alkohol.

3) Perkembangan:
Sel mamari di payudara membesar dan menebus limfa atau saluran darah menyebabkan metastasis. Tumor ini dapat dikesan melalui mamografi, ultrasound, MRI dan nodus aksilari. Jikalau tumor itu tidak dirawat, ia akan membesar dan metastasis akan membawa maut.

4) Simptom:
ketulan di payudara, kemungkinan menyebabkan kulit berhampiran berkedut, kelainan pada puting, puting berdarah, nodus aksilari.

5) Pengesanan kanser payudara:
Cara paling baik untuk rawatan lengkap.
- pemeriksaan sendiri payudara.
- mamografi bilateral, sekali setiap tahun atau setiap 2 tahun selepas umur 40 (atau umur 50, terpulang kepada
negara mana). Kemungkinan untuk mengesan tumor pada peringkat awal sebelum ia tersebar.
- ultrasound dinasihatkan.
- Petanda tumor diperlukan.

6) Diagnosa kanser payudara:
bergantung kepada
- mamografi;
- ultrasound; MRI ;
- biopsi: samada core-biopsi (fine-needle aspiration), atau biopsi pembedahan.
- dan petanda tumor : CEA , CA 15-3.

7) Rawatan:
Surgeri, radioterapi dan rawatan perubatan. Rawatan ini adalah dijalankan mengikut keperluan setiap pesakit.

- Surgeri: mastektomi sepenuh (pembuangan payudara) sesuai hanya untuk 30% kes, mastektomi sebahagian
adalah yang sering digunakan: lumpektomi, sekmental mastektomi. Diseksi nodus limfa aksilari adalah perlu
untuk mengawasi kesan rawatan perubatan: prosedur ini dapat dilakukan menerusi teknik "minimally invasive"
untuk kanser yang bersaiz kecil (kecil daripada 10mm). Pembinaan semula dapat dilakukan semasa atau selepas
mastektomi.
- Radiasi: mastektomi sepenuh. Keputusannya cemerlang.
Radiasi juga diguna sebelum pembedahan, samada tersendiri atau bersama kemoterapi untuk menyusutkan
tumor.
- Rawatan Perubatan: bergantung kepada parameter tumor dan nodus.
- Kemoterapi diguna bersama pelbagai ubat. Kanser payudara metastasis sangat awal, kemoterapi sentiasa
digunakan. Banyak protokol didapati, mengizinkan keputusan penting dalam penyembuhan.
- Terapi hormon: mengurangkan pertumbuhan sel hormon.

8) Rawatan susulan:
amat perlu, dijalani sepanjang hidup disebabkan oleh risiko penimbulan semula.

Mesti dilakukan pada 3 bulan pertama, kemudian setiap 6 bulan, seterusnya setiap satu tahun:
- pemeriksaan klinikal;
- mamografi;
- ujian petanda: CEA , CA 15-3. Petanda tumor sangat sensitif untuk mengesan metastasis tulang dan hati.
Jikalau pembacaan memberi amaran, ujian lain akan mengesan juga : ultrasound, MRI .

9) Pencegahan:
Banyak kajian dibuat di seluruh dunia. Sehingga sekarang, tiada sependapat bagi protokol yang teratur. Kumpulan di seluruh dunia menggunakan teknik radikal (jumlah mastektomi bila dikesan mewarisi genetik) dan perbezaan ubat (Tamoxiphen, Raloxyphen). Keputusan penyelidikan lanjutan telah lama menunggu.

AMARAN : jikalau anda menjalani rawatan ANTI-PENUAAN, khususnya menggunakan DHEA, anda perlu pasti anda tiada kanser payudara.


Petanda tumor di atas adalah sebahagian daripada ujian Biomarkers C12; adalah mengesyorkan anda melaksanakan panel ini sekali dalam setahun.

Kanser dapat dikesan : lakukannya SEKARANG.

Khamis, 19 Julai 2007

PUNCA KULIT ROSAK


Makanan tak seimbang punca kulit rosak

MEMILIKI kulit yang bersih dan sihat boleh meningkatkan keyakinan seseorang untuk berdepan orang ramai. Mungkin ramai tidak sedar, keyakinan dan keselesaan dengan diri sendiri menjadikan seseorang itu tampak lebih cantik.



Sememangnya tidak mudah untuk seseorang selesa dengan dirinya, terutama kulitnya. Pelbagai masalah kulit seperti jerawat, jeragat, kulit berminyak dan kusam banyak dipengaruhi gaya hidup kita.

Kulit adalah organ terbesar dalam badan dan ia menjadi sistem perlindungan kedua menghalang kemasukan bakteria atau virus yang menyebabkan jangkitan serta masalah kesihatan.

Namun, gaya hidup yang tidak sihat dan pemakanan tidak seimbang memberi kesan buruk kepada kulit. Tabiat pemakanan yang kaya lemak dan gula contohnya akan memaksa badan menyingkirkan bahan toksik dan lemak berlebihan tadi melalui kulit, mengakibatkan tompok hitam pada kulit.

Perokok dan orang yang mengalami masalah ketagih kafein pula kerap menghadapi masalah kulit kering. Sebaliknya individu yang banyak makan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, soya dan minum air secukupnya (sekurang-kurangnya satu liter sehari) biasanya mempunyai kulit yang cantik dan bersih.

Malangnya, gaya hidup kita hari ini yang sibuk dan bergantung kepada makanan diproses, yang mengandungi banyak lemak haiwan tepu, gula dan karbohidrat serta mempunyai jangka hayat lama, sebenarnya musuh utama kesihatan kulit.

Makanan yang tinggi kandungan lemak tepu akan merangsang kelenjar sebum merembeskan lebih banyak minyak daripada kadar normal dan mengakibatkan jerawat.

Selain lemak haiwan, pengambilan minyak yang dihidrogenkan (digunakan dalam penghasilan marjerin, kek dan biskut komersial) perlu dielakkan atau sekurang-kurangnya dikurangkan.

Terlalu banyak gula boleh menjejaskan sistem imun badan. Ini sebabnya pesakit diabetes mengalami masalah luka lambat sembuh kerana badan mereka tidak mampu mengawal paras gula dalam darah.

Sentiasa waspada dengan apa yang anda makan, terutama gula yang terkandung dalam air minuman berkarbonat, jus dalam paket, makanan dingin beku dan snek.

Untuk memastikannya, periksa perkataan seperti fruktosa, dekstrosa dan sukrosa pada label. Semua ini adalah gula dalam bentuk berbeza.

Antara sumber makanan lain yang perlu diawasi ialan garam. Walaupun garam antara mineral penting, jika terlalu banyak ia boleh menyebabkan masalah retensi air, iaitu badan tidak boleh menyingkir air berlebihan.

Akibatnya, seseorang individu itu akan mengalami masalah kulit bengkak terutama di bahagian sensitif seperti di bawah mata. Malah terlalu banyak garam juga boleh meningkatkan tekanan darah.

Selain itu, kurangkan pengambilan makanan yang diawet kerana kandungan iodin di dalamnya boleh menyebabkan kita mudah mendapat jerawat. Jika kita mempunyai masalah jerawat, iodin boleh memburukkan keadaan dan menjadikannya lebih banyak.

Ada orang tidak boleh memulakan tugas jika tidak minum kopi. Individu seperti ini boleh dianggap ketagihan kafein. Walaupun ada dakwaan perubatan mengatakan kafein boleh mengelakkan penyakit tertentu seperti Parkinson, ia memberi kesan buruk jika diambil berlebihan.

Kafein bukan saja ada dalam kopi. Minuman seperti teh, coklat dan minuman ringan seperti kola juga mengandungi kafein. Berlebihan kafein akan menyebabkan sel kulit mengalami kekeringan, mengurangkan keupayaan sel menggunakan vitamin B dan C.

Jika anda tergolong dalam kumpulan ketagih kafein, minum banyak air sekurang-kurangnya satu liter sehari untuk mengatasi masalah kekeringan kulit. Bagaimanapun, musuh paling utama ialah pengambilan alkohol berlebihan kerana ia bukan saja menyebabkan kekeringan kulit, tetapi turut merosakkan sel hati.

Makanan perlu untuk kulit

Sumber utama untuk mengekalkan kesihatan kulit ialah sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin mil penuh yang banyak serat. Buah-buahan dan sayur-sayuran bukan saja kaya dengan bahan antioksidan, tetapi kandungan airnya dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Pakar perubatan mengesyorkan supaya kita mengambil makanan yang mempunyai tiga warna asas iaitu merah, kuning dan hijau setiap hari kerana ia sumber utama antioksidan.

Contohnya tomato, lada benggala, lobak merah, tembikai, betik, belimbing, oren, limau dan semua sayur-sayuran hijau. Ia bukan saja untuk kesihatan kulit, tetapi membantu melancarkan sistem perkumuhan kerana mengandungi banyak air dan serat.

Tiada makanan yang boleh dianggap makanan lengkap dan sempurna. Jadi, kita perlu mempelbagaikan makanan yang diambil kerana ia saling melengkapi bagi memenuhi keperluan harian.

Perlu diingat, bukan semua lemak tidak baik kerana badan masih memerlukan sumber lemak, terutama bagi mengekalkan kesihatan kulit dan rambut. Antara asid lemak penting ialah Omega 3 dan 6.

Bagi individu yang mengalami masalah kulit berminyak, kurangkan pengambilan makanan berlemak. Sebaliknya, lebihkan makanan yang kaya kandungan beta karoten iaitu makanan berwarna merah seperti lobak merah dan paling penting, minum banyak air.

Jika kulit kering, pastikan anda minum banyak air untuk menggantikan air yang hilang dan mengembalikan kelembapan. Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanan yang kaya sulfur seperti ikan, bawang putih dan bawang merah boleh membantu kulit kelihatan lebih licin dan lembut.

Manakala bagi kulit bermasalah pula, ambil makanan kaya zat besi dan serat. Elak makanan bergoreng, berminyak dan berlemak. Minum banyak air kerana air boleh menyingkir bahan toksik daripada badan yang menyebabkan pelbagai masalah kulit.

Ahad, 15 Julai 2007

DIABETES LAGI..( Pantang jumpa )


Ramai orang terperangkap penyakit kencing manis kerana tidak menjaga pemakanan

Okay...post kali ni masih bersekitar kencing manis..bukan apa..ekoran lawatan aku ke hospital Kluang ni ramai pula jumpa pesakit kencing manis..ada yang baru potong kaki..ada yang baru kena cuci dan macam-maca lagilah..ya..lah penyakit "pantang jumpa atau nampak ni" dah jadi trend kita di zaman millenium ni..alhasil kita juga yang nyesal..

PENINGKATAN jumlah pesakit kencing manis setiap tahun belum dapat meningkatkan kesedaran ramai orang untuk sentiasa menjaga pemakanan dan kesihatan dengan bersungguh-sungguh.



Untuk berpantang makan di negara yang kaya dengan kepelbagaian makanan enak seperti Malaysia sememangnya payah dilakukan.

Justeru, ada pakar perubatan mengandaikan rakyat negara ini seolah-olah mengamalkan satu konsep pemakanan iaitu ‘pantang nampak’, menyebabkan ramai orang, termasuk golongan muda seawal usia 30 tahun, terjebak dalam perangkap penyakit kencing manis.

Kencing manis berlaku apabila kelenjar pankreas sentiasa mengeluarkan insulin dan kadangkala melebihi paras normal. Pada masa sama badan tidak dapat menggunakan insulin ini, menjadikan pesakit dalam keadaan tidak cukup insulin.

Insulin adalah sejenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah. Apabila kita makan atau minum, kandungan gula dalam makanan atau minuman itu merangsang kelenjar pankreas untuk menghasilkan insulin.

Insulin ‘membenarkan’ gula yang dipecahkan dalam bentuk lebih ringkas dalam darah berpindah ke sel bagi membolehkan sel berfungsi.

Bagaimanapun, jika proses pemindahan tidak berlaku (akibat kekurangan insulin), darah mempunyai berlebihan gula dan berlakulah masalah kencing manis.

Masalahnya ialah, kencing manis berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari. Jika anda ada ahli keluarga yang menghidap kencing manis, bermakna anda perlu lebih berhati-hati kerana risiko mendapat penyakit ini sentiasa ada.

Kencing manis lebih kerap berlaku pada individu yang terlalu gemuk atau obes kerana badan memerlukan banyak insulin bagi memastikan paras gula dalam darah berada pada tahap normal.

Sebagaimana penyakit kronik lain, kencing manis tidak menunjukkan gejala atau tanda. Namun, ia boleh dikesan melalui ujian darah. Ini sebabnya kita disaran menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh atau setidak-tidaknya ujian darah setahun sekali supaya masalah dapat dikesan awal.

Menurut Panduan Perubatan Merck Edisi Kedua, diabetes boleh menyebabkan pelbagai komplikasi iaitu kepada:

  • Salur darah — Pengumpulan lemak dalam salur darah (besar dan sederhana) boleh menghalang aliran darah ke organ seperti jantung, otak, kaki dan zakar. Ia juga merosakkan dinding salur darah yang halus dan ini menyebabkan penghantaran oksigen ke organ terhenti. Salur darah juga mungkin boleh pecah akibat masalah ini.

    Komplikasinya: Aliran darah yang tidak baik mengakibatkan luka lambat sembuh dan meningkatkan risiko sakit jantung, strok, gangren (kematian dan kemerosotan anggota tubuh akibat kekurangan darah) pada kaki dan tangan, masalah mati pucuk dan memudahkan jangkitan. Ini sebabnya ramai pesakit kencing manis berdepan kemungkinan kaki dipotong apabila luka pada kaki menjadi kudis besar dan sukar disembuhkan.

  • Mata — Salur darah halus yang menghantar oksigen ke retina boleh rosak dan menjejaskan pandangan. Keadaan ini dipanggil retinopati diabetes dan ia punca utama masalah kehilangan penglihatan di kalangan pesakit kencing manis. Pesakit boleh menjadi buta jika kencing manis terus tidak terkawal.

  • Buah pinggang — Salur darah dalam buah pinggang menebal, mengalami kebocoran protein dalam air kencing dan buah pinggang gagal menapis darah dengan baik. Keadaan ini lama kelamaan menyebabkan kegagalan buah pinggang.

  • Saraf — Ada dua perkara yang boleh menyebabkan kerosakan saraf pesakit kencing manis iaitu berlebihan glukosa (kerana ia tidak dapat digunakan sepenuhnya) dan kekurangan bekalan darah.

    Komplikasinya: Kepekaan deria sentuh pada kaki atau tangan contohnya merosot secara perlahan-lahan, kebas dan kadangkala berasa sakit. Jika kencing manis terus tidak terkawal, ia merosakkan saraf.

  • Sistem saraf autonomik — Saraf yang mengawal tekanan darah dan proses penghadaman mengalami kerosakan. Akibatnya pesakit mengalami masalah tekanan darah yang turun naik, susah menelan makanan, fungsi sistem pencernaan berubah sedikit dan mungkin selalu cirit-birit.

  • Kulit — Aliran darah ke kulit tidak lancar dan kulit menjadi kurang sensitif terhadap sentuhan atau tekanan yang boleh menyebabkan luka berulang. Pesakit mengalami kerengsaan, luka tekanan (terutama pada bahagian badan yang sentiasa mengalami tekanan) dan sukar sembuh.

  • Darah — Fungsi sel darah putih sebagai pelindung badan daripada jangkitan turut terjejas. Akibatnya pesakit mudah mengalami jangkitan, terutama jangkitan salur kencing dan pada kulit.

    Pesakit kencing manis juga perlu memberi lebih tumpuan pada penjagaan kaki. Kajian menunjukkan 25 peratus pesakit mengalami masalah kaki akibat kencing manis akibat komplikasi seperti disenaraikan di atas.

    Penjagaan kaki ini perlu dijadikan rutin harian bagi mengelak masalah serius. Malah, luka kecil pada kaki juga perlu diberi perhatian khusus sebelum ia menjadi kudis besar kerana luka pada pesakit kencing manis biasanya lambat sembuh.

    Amalan

    > Periksa kaki setiap pagi selepas mandi.

    > Cuci kaki dengan air suam.

    > Keringkan kaki, terutama di celah jari. Boleh sapu bedak di celah jari, tetapi jangan gunakan losen kerana ia boleh menggalakkan jangkitan (kerana kaki sentiasa lembap).

    > Potong kuku kaki setiap minggu.

    > Pakai kasut selesa. Kalau boleh, pakai stokin dan kasut sepanjang masa untuk mengelak kaki terkena objek yang boleh menyebabkan luka. Bagi orang Melayu, anda boleh memakai selipar dalam rumah.

    > Jika ada luka, cepat-cepat rawat hingga sembuh.

    > Berhenti merokok. Merokok mengurangkan lagi aliran darah ke kaki.

  • Oleh itu marilah bersama-sama beringat-ingat..sayangilah jasad anda...

    Isnin, 9 Julai 2007

    JERAWAT DAN ANDA..

    Dalam dunia serba mengejar kecantikan dan kemewahan ini kita tidak terlepas dari masaalah menilai penampilan. Ya..memang benar.,jika kita cantik pasti ramai akan tertarik dan sering memandang dan kita pula selalu nak control " macho " atau "cute" tapi bagaimana jika wajah kita dikerumuni " noda / tanda cela"..he..he..jerawat ler tu..ayuh kita dalami kisah jerawat ini buat menambah koleksi ilmu wajah kita kali ini. Jerawat merupakan penyakit kulit yang paling biasa di kalangan golongan muda dan ia biasanya bermula apabila baligh. Tapak pertumbuhan jerawat ialah di muka, belakang badan dan dada. Ia disebabkan oleh perubahan hormon seks. Jerawat biasanya hilang bila dewasa. Jerawat boleh diminimakan dan parutnya boleh dikurangkan dengan penjagaan kulit yang rapi.

    Jerawat melibatkan kelenjar sekresi minyak (kelenjar sebum), liang roma dan bahagian hujung folikel rambut. Terdapat penyumbatan pada folikel rambut dan kelenjar sebum oleh sebum (minyak). Bakteria pada penyumbatan itu membiak dan menghasilkan nanah pada jerawat. Bila penyumbatan sebum itu terdapat dibawah kulit, ia dikenali sebagai bintik putih, dan apabila ia mencapai permukaan kulit, ia menjadi gelap dan dikenali sebagai bintik hitam.
    Fakta untuk diselami :

    - Peningkatan penghasilan hormon lelaki (androgen). Aras hormon ini meningkat pada
    kedua-dua lelaki dan perempuan semasa baligh.
    - Turun -temurun
    - Stres
    - Alam sekeliling - bekerja di tempat yang berminyak
    - Ubat-ubat tertentu, contohnya kortikosteroid
    - Makanan
    Walaupun tiada bukti yang jelas yang mengatakan bahawa coklat dan
    makanan-makanan yang lain boleh menyebabkan jerawat, sesetengah orang mendapati
    bahawa makanan-makanan tertentu boleh mengakibatkan jerawat. Elakkan makanan yang
    anda dapati boleh menyebabkan jerawat.

    Peranan Anda

    - Basuh muka and dengan sabun jenis mudah sekurang-kuranya dua kali sehari iaitu pada
    awal pagi dan sebelum tidur.
    - Jangan memicit, menyubit atau mencakar jerawat pada kulit anda.
    - Basuh rambut anda lebih kerap.
    - Gunakan krim anti jerawat yang menghalang liang dari tersumbat.
    - Jika anda menggunakan kosmetik, gunakan yang
    berasaskan air dan bukannya yang berasaskan minyak.
    - Jika jerawat terdapat pada bahagian belakang badan atau dada, gunakan pakaian yang
    ringan dan tidak ketat.
    - Bersenam selalu.
    - Elakkkan stres sebaik yang mungkin.
    - Amalkan pemakanan yang seimbang dengan meningkatkan pengambilan
    sayur-sayuran dan buah-buahan.
    - Elakkan penggunaan minyak rambut.
    - Basuh tangan anda dengan kerap dan elak menyentuh muka tanpa sebab.
    - Runding dengan seorang doktor jika jerawat tidak menghilang. Jika anda diprekskripsi
    dengan sebarang ubat, ikut arahan doktor atau pegawai farmasi anda dengan ketat.

    Peranan Doktor Anda

    - Mensyorkan ubat anti jerawat yang bersesuaian.
    - Mempreskripsi antibiotik, jika didapati perlu.
    - Mempreskripsi tablet Vitamin B kompleks.
    - Mengelakkan pemarutan, jika boleh.
    - Mengelakkan timbulnya jerawat-jerawat yang baru
    - Merawat kelemumur pada kulit kepala.

    Hmm..oleh itu sayangilah wajah anda dan manjakanlah diri dengan kebersihan..tapi..kan..ingat juga hati pun nak kena bersih jangan diisi dengan hasad dengki,sangka buruk dan macam-macam sifat tak baik sebab kalau wajah ajer cantik tapi kureng sikap sopan santun maka cahaya keindahan ketrampilan wajah takkan berhasil..buat sedap mata memandang tapi hati tak berapa senang..sakit memanjang...he.he..ok..cukup untuk post kali ni..bye.

    Jumaat, 6 Julai 2007

    GOUT

    Dalam kesibukan tugas dan berbicara bersama teman-teman terlintas aku pada beberapa teman yang menderita sakit gout dan penderitaan yang dialami buat aku meneroka informasi dimana-mana untuk panduan mereka dan anda juga..Gout?..apa itu gaut..? Gout adalah sejenis penyakit yang dicirikan dengan kesakitan dan pembengkakan sendi yang berulang, khasnya berlaku di kalangan kaum lelaki muda atau pertengahan tahun. Ia biasanya bermula dengan satu sendi pada satu masa dan lazimnya sendi pada tapak ibu jari kaki. Paras asid urik dalam darah adalah tinggi dalam gout. Hal ini merupakan akibat daripada ketidakupayaan kimia badan mengendalikan purin, iaitu satu sebatian nitrogen yang penting untuk tenaga. Purin boleh terbahagi kepada endogenus (disintesis dalam nukleus sel badan manusia) atau eksogenus (diperolehi dari makanan). Titik akhir metabolisme purin ialah asid urik yang dihasilkan dalam hati. Kebanyakan asid urik dikumuhkan oleh ginjal melalui air kencing manakala sebahagian pula disingkirkan melalui usus. Proses-proses tersebut mengekalkan paras asid urik dalam lingkungan yang normal. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, badan menghasilkan terlalu banyak atau menyingkirkan terlalu sedikit asid urik dan seterusnya mengakibatkan paras asid urik yang tinggi dalam darah. Dalam gout, hablur natrium urate termendak pada dan di sekeliling sendi serta tisu lembut dan menyebabkan kesakitan serta keradangan. Hablur-hablur ini juga boleh berkumpul dalam ginjal dan mengakibatkan batu karang urate malah kerosakan ginjal.

    Sebab terjadinya gout:

    1. Peningkatan penghasilan asid urik.

    Ini mungkin disebabkan oleh:

    - Faktor keturunan tertentu yang mengakibatkan penghasilan purin yang lebih
    banyak
    - Sesetengah penyakit darah yang melibatkan peningkatan pemecahan sel,
    sesetengah penyakit kulit yang teruk dan sebagainya.

    2. Pengurangan penyingkiran asid urik.
    Ini mungkin disebabkan oleh:

    - Penyakit ginjal yang berterusan.
    - Sesetengah ubat yang diambil, misalnya diuretik.
    - Pengurangan penyingkiran air dari badan dalam sesetengah penyakit,
    contohnya tekanan darah tinggi, kebuluran.

    Tanda Dan Gejala - Gout Akut

    Satu serangan akut bermula apabila terdapatnya peningkatan paras asid urik secara mendadak dalam darah. Apabila darah diuji, asid urik dalam darah didapati melebihi 420 milimol setiap liter (7mg setiap 100ml). Satu serangan akut boleh dicetuskan oleh berbagai-bagai faktor, misalnya pengambilan purin yang tinggi dalam diet, penggunaan alkohol yang berlebihan, tekanan, jangkitan, kecederaan sendi dan sesetengah jenis rawatan.

    - Serangan adalah secara mendadak dengan kesakitan, kemerahan dan pembengkakan
    yang teruk, biasanya pada tapak ibu jari kaki. Tapak jangkitan lain yang kerap dipengaruhi
    termasuklah sendi kaki, pergelangan kaki, lutut, pergelangan tangan dan jari. Jika tidak
    dirawat, serangan boleh berterusan selama beberapa hari atau minggu dan berhenti secara
    spontan. Serangan boleh berlaku semula secara bulanan atau tahunan.
    - Kemungkinan terjadinya loya, perut kembung dan kesakitan abdomen secara samar-
    samar.
    - Pengumuhan air kencing yang lebih banyak dan kerap.
    - Demam yang ringan mungkin terjadi.

    Tanda Dan Gejala - Gout Kronik

    Dalam kes yang kronik, hablur mononatrium urate termendak pada sendi , di sekeliling sendi, rawan telinga serta ginjal dan menyebabkan kerosakan yang berkekalan.

    - Pemendakan pada rawan telinga boleh menyebabkan pembengkakan yang keras yang
    dikenali sebagai ‘tophi’.
    - Pada sendi, kemusnahan rawan dan hakisan tulang boleh menyebabkan kesakitan,
    kekakuan serta kecacatan sendi.
    - Kerosakan ginjal yang berterusan boleh menyebabkan pembentukan batu karang ginjal
    dan kegagalan ginjal.

    Rawatan

    Ubat Untuk Serangan Akut
    - Ubat anti-inflamatori bukan steroid

    Ubat-ubat ini kerap digunakan untuk merawat serangan akut, misalnya diclofenac, indomethacin dan ketoprofen. Ubat-ubat ini diberi untuk melegakan pembengkakan dan kesakitan. (Catatan: Aspirin harus dielakkan kerana ia mengurangkan penyingkiran asid urik dari ginjal).

    - Colchicine

    Ubat ini adalah berkesan untuk rawatan gout akut. Bagi pesakit yang mempunyai gout kronik yang kerap mengalami serangan, perubahan sendi atau paras asid urik yang tinggi, rawatan untuk jangka masa yang panjang diperlukan.

    - Corticosteroids

    Ubat ini hanya digunakan apabila pesakit tidak dapat bertoleransi dengan ubat anti-inflamatori bukan steroid. Ubat ini hanya digunakan untuk tempoh yang pendek.

    Ubat Untuk Rawatan Jangka Masa Yang Panjang
    Ubat-ubat ini dicadangkan apabila pesakit mempunyai beberapa serangan gout akut atau apabila hiperurisemia adalah disebabkan oleh defisiensi sesetengah metabolik semulajadi.

    - Ubat uricosuric, contohnya probenecid dan sulphinpyrazone

    Ubat-ubat ini meningkatkan penyingkiran asid urik dalam air kencing dengan menghalang penyerapan semula asid urik dalam ginjal.

    - Penyekat xanthine-oksidase, contohnya allopurinol-penyekat enzim

    Allopurinol ialah ubat pilihan bagi pesakit tua dan pesakit yang mempunyai sejarah gangguan ginjal dan gout tophaceous. Ia menhalang pembentukan asid urik. Kedua-dua ubat tersebut tidak harus dimulakan ketika serangan akut tetapi beberapa minggu selepas serangan akut. Setelah dimulakan, ia harus diteruskan untuk mencegah serangan yang seterusnya.

    Lakukan Amalan Yang Baik seperti :

    - Kurangkan pengambilan protein dalam diet, misalnya kekacang, bijiran dan daging merah.
    - Makan makanan yang kurang mengandungi purin, misalnya daging organ (hati, ginjal,
    otak, jantung, pankreas), ekstrak daging, angsa, itik, ayam belanda, telur ikan, sardin dan
    ikan hering.
    - Kurang minum bir, teh dan kopi.
    - Hadkan pengambilan lemak, khasnya golongan yang obes.
    - Minum air yang banyak (8 gelas sehari) untuk membersihkan ginjal.
    - Jangan mengamalkan diet pengurangan berat badan secara mendadak. Kekalkan berat
    badan yang sihat.

    Golongan berisiko :

    - Kaum lelaki- kaum lelaki merangkumi lebih daripada 90% pesakit gout.
    - Sejarah keluarga- 10-20% pesakit mempunyai sejarah keluarga gout.
    - ObesitI (kegemukan)
    - Hipertensi (tekanan darah tinggi)
    - Penggunaan alkohol
    - Prevalen adalah lebih tinggi dalam komuniti bandar berbanding dengan luar bandar.

    Aku harap info yang diatas tadi menjelaskan kesamaran apakah itu gout yang kekadang tu bagai misteri bagi sesetengah pesakit.

    Khamis, 5 Julai 2007

    KENCING KOTOR..( U.T.I )

    Saluran kencing merupakan sistem penapisan badan kita untuk membuang segala sisa cecair. Air kencing bergerak dari buah pinggang melalui tiub kecil yang dikenali sebagai ureter ke pundi kencing, di mana air kencing itu disimpan. Air kencing akan keluar dari badan kita melalui saluran uretra.

    Jangkitan saluran kencing (UTI) merupakan keradangan saluran kencing. 80% daripada kes-kes ini adalah disebabkan oleh kuman bakteria Escherichia coli (E.Coli)

    Bakteria ini boleh menyebabkan:

    • Jangkitan bahagian bawah saluran kencing atau jangkitan pada pundi kencing yang dikenali sebagai sistitis.

    • Jangkitan yang lebih serius ialah di bahagian atas saluran air kencing atau jangkitan pada buah pinggang yang dipanggil pielonefritis.

    • Keradangan uretra atau uretritis.

    Kaum wanita adalah lebih mudah mendapat UTI kerana saluran uretra mereka lebih pendek dari lelaki, menjadikan bakteria lebih mudah merebak naik ke sistem saluran kencing. UTI jarang berlaku di kalangan kaum lelaki.

    Tanda dan Gejala

    • Kerap terasa hendak membuang air kecil tetapi gagal untuk mengeluarkan air kencing yang banyak.

    • Terasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil.

    • Air kencing mengandungi darah, berkabut atau berbau busuk.

    • Terasa tidak selesa di bahagian bawah abdomen.

    • Terasa sakit ketika melakukan hubungan seks.

    • Demam dan seram sejuk.

    Komplikasi

    Jika jangkitan ini tidak dirawat di peringkat awalnya, ia boleh membawa kepada penyakit pielonefritis, apabila bakteria merebak naik ke buah pinggang.

    Penyebab dan faktor-faktor penyumbang

    • Penyebab UTI yang paling lazim di kalangan wanita adalah disebabkan oleh tabiat mengelap dari belakang ke depan selepas membuang air besar. Perbuatan yang demikian akan menggalakan bakteria dari dudur atau faraj memasuki uretra.

    • Hubungan seks juga merupakan faktor yang boleh menyumbang kepada UTI, kerana kawasan kemaluan wanita disentuh dengan tangan atau zakar yang kotor.

    • Menggunakan kontraseptif pembunuh sperma atau spemasid.

    • Memasukkan tampon tanpa membasuh tangan terlebih dahulu.

    Pengurusan sendiri

    • Mendapatkan nasihat anggota kesihatan jika anda mensyaki dijangkiti UTI.

    • Doktor perlu memeriksa kanak-kanak yang menghidap UTI.

    • Jika anda terasa gejala-gejalanya berlaku, minumlah lebih banyak air supaya anda dapat menyingkir keluar bakteria dari pundi kencing melalui pembuangan air kencing yang kerap.

    • Elak dari mengambil alkohol, kafein, makanan berempah yang boleh mengganggu pundi kencing.

    • Ambillah ubat antibiotik seperti yang telah dinasihatkan oleh doktor. Jika gejala masih berterusan selepas 2-3 hari, berjumpa doktor semula. (anda perlu menghabiskan antibiotik yang diberikan itu).

    • Larutkan 1 sudu teh baking soda ke dalam air dan minum setiap 6 jam sekali untuk menawarkan asid dalam air kencing serta mengurangkan gangguan pada pundi kencing.

    Apakah yang boleh doktor lakukan untuk anda?

    • Ambil sampel air kencing dan menjalankan ujian bakteria (Catatan: Jangan mengambil sebarang antibiotik sebelum berjumpa doktor. Jika anda berbuat demikian ia akan menyukarkan diagnosis).

    • Mengecualikan anda dari penyakit-penyakit lain yang mempunyai gejala yang sama seperti diabetes, batu karang, penyakit kelamin dan lain-lain.

    • Memberi antibiotik tertentu.

    • Memeriksa sebab-sebab lain terutamanya bagi pesakit lelaki.

    Pencegahan

    • Meminum lebih banyak cecair; sekurang-kurangnya lebih 10 gelas, sehingga air kencing menjadi jernih.

    • Kepada mereka yang mudah mendapati UTI berulangkali, makanlah secawan dadih setiap hari. Dadih mengandungi lactobacillus acidophilus yang dapat membentuk persekitaran berasid dan mencegah pembiakan bakteria yang tidak diperlukan.

    • Buang air kecil jika terasa untuk berbuat demikian. Menahan air kencing dalam pundi kencing mengalakkan pembiakan bakteria.

    • Wanita perlu mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan mengelap dari depan ke belakang selepas ke tandas, untuk mengurangkan bakteria merebak dari kawasan dubur ke uretra.

    • Elak dari melakukan aktiviti-aktiviti fisikal terlalu lama yang boleh memburukkan UTI, contohnya berbasikal, menunggang kuda, menunggang motosikal dan mengembara.

    • Memakai pakaian dalam yang diperbuat dari kapas dan pakaian hendakalah longgar. Elakkan pakaian yang ketat dan stokin nilon kerana ia menyerap haba dan kelembapan.

    • Elakkan dari mandian berbuih, sabun wangi, pencuci wanita, deodoran, tampon dan napkin.

    • Buang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan seks.

    • Mandi dengan air pancuran bukan dari dalam kolam mandi.

    • Tukar tuala wanita dan tampon dengan lebih kerap.

    Maka waspada selalu..bakteria atau kuman berada dimana-mana jika ada kesan kepada kesihatan segeralah bertindak

    Rabu, 4 Julai 2007

    ANDA SEMBELIT?

    Satu masalah yang kekadang kita ambil mudah tapi boleh mendatangkan risiko tinggi jika dibiarkan. Apa itu sembelit..?Sembelit ialah pergerakan usus yang tidak kerap atau yang tidak selesa. Pergerakan usus mungkin kecil, keras atau kering. Bilangan kali seseorang membuang air besar dalam sehari adalah berbeza. Ia mungkin 2-3 kali sehari atau sekali dalam 2-3 hari. Seseorang dikatakan mengalami sembelit jika ia membuang air besar hanya dua kali dalam seminggu atau kurang daripada itu dan dikaitkan dengan peneranan ketika membuang air besar. Sembelit adalah lebih biasa di kalangan wanita.

    Gejala-gejala

    a. Najis adalah lebih kering dan keras dan adalah lebih susah untuk membuang air besar
    b. Meneran semasa membuang air besar
    c. Sakit semasa pergerakan usus
    d. Kekejangan di bahagian abdomen

    Penyebab-penyebab

    1. Sembelit Mudah
    A. Stasis rektal, yang mungkin disebabkan oleh
    - Tabiat buruk
    - Sakit pada bahagian dubur
    - Gangguan kesedaran kerana pelalian yang melampau.
    B. Stasis kolon, yang mungkin diakibatkan oleh
    - pengambilan makanan yang kurang (kekurangan residu selulos di dalam diet seharian)
    - perubahan dalam pergerakan usus yang diakibatkan oleh ketidakfungsian endokrin
    - contohnya, penggunaan ubat tertentu seperti zat besi, kodein

    2. Sembelit organik
    Ini mungkin disebabkan oleh
    - Keadaan penyakit seperti kencing manis, ulser peptik dengan halangan, keadaan
    kemurungan.
    - Penyakit kolon, rektal atau pelvis.
    - Tekanan ke atas rektum, contohnya semasa mengandung atau disebabkan oleh tumor
    di bahagian pelvis.

    Runding dengan doktor anda apabila:
    a. Sembelit muncul sebagai gejala baru selepas umur 40 tahun.
    b. Sembelit menjadi lebih sakit, teruk dan lebih kerap.
    c. Terdapat darah di dalam najis - Najis berwarna gelap dan kelihatan seperti tar.
    d. Terdapat perubahan di dalam pergerakan usus. Sembelit berselang-seli dengan cirit-
    birit.
    e. Sembelit tidak beransur pulih dengan aplikasi perubatan.

    Langkah mengatasi :

    Berunding dengan doktor untuk mengenalpasti penyebab sembelit yang kronik

    a. Sembelit transit perlahan - (disebabkan oleh pengambilan diet beresidu rendah), boleh
    dirawat dengan mengubah kepada diet yang tinggi dalam serat, dengan melebihkan
    pengambilan cecair dan senaman yang kerap. Makanan yang tinggi dalam serat ialah
    bran, buah-buahan kering, kekacang dan pasta. Sayur-sayuran dan buah-buahan
    mengandungi selulos tak-terserap dan pektin yang juga berguna di dalam perawatan
    sembelit.
    b. Sediaan famakologi iaitu agen penghasil-pukal seperti metil selulos dan sekam
    isphagula yang berguna bila diet sendirian tidak dapat melegakan gejala sembelit.
    c. Laksatif osmotik, contohnya magnesium sulfat atau magnesium hiroksida adalah juga
    berguna.
    d. Laksatif perangsang - meningkatkan pergerakan usus, contohnya, senna
    e. Pelembut najis, contohnya cecair parafin, merupakan langah jangka pendek untuk
    membantu melembutkan najis dalam penyakit dubur.
    f. Agen prokinetik, contonya cisapride, yang memendekkan waktu peredaran usus.

    Corak Gaya Hidup Baru

    Pemakanan
    - lebihkan serat dalam pemakanan harian anda.
    - Minum 6-8 gelas cecair dalam sehari, contohnya jus, air, teh, kopi

    Senam
    - mula program senaman yang baru atau sambung semula sukan yang anda telah
    minati dahulu.

    Tabiat
    - Buang air besar selalu dan jangan tak perendahkan dorongan untuk membuang air besar
    - Kawal tekanan dan belajar untuk beristirehat.
    - Jangan memberi tekanan yang terlalu banyak pada latihan tandas kanak-kanak.
    - Jangan guna ubat dengan terlalu banyak antasid.

    Sembelit tidak harus dipandang sepi dan harus dirawat pada peringkat awal apabila penyebab masalahnya diketahui selepas berbincang dengan doktor anda.

    Ahad, 1 Julai 2007

    KAWAL DIABETES ANDA..

    Maaf terlebih dulu kerana agak lama tidak post..minggu nimerupakan sambungan dari kisah kencing manis dan diharap dapat kamu semua mendapat manafaat khasnya bagi penghidap kencing manis..tapi biasalah makanan yang sedap-sedap banyak orang saki ni tak berpantang tapi ingat-ingat sikit ..kalau tak dikawal...( faham-faham sendiri ya,,,)

    Masalah sekiranya Kencing Manis tidak dikawal.

    Sekiranya penyakit kencing manis tidak dikawal dalam tempoh yang berlanjutan pengidap kencing manis akan sentiasa mempunyai kadar gula yang tinggi didalam darahnya. Kadar gula tinggi yang berterusan akan mendatangkan banyak perubahan pada bahagian saluran darah dan juga urat(nerve). Perubahan-perubahan ini pula boleh mendatangkan penyakit lain seperti:-

    • Hujung kaki tangan menjadi sebal, hilang deria sentuh, disebabkan oleh kerosakan urat/nerve.
    • Gatal-gatal badan yang disebabkan kerosakan urat/nerve.
    • Kurang daya syahwat bagi kaum lelaki yang disebabkan kerosakan urat/nerve dan saluran darah.
    • Sering kencing malam disebabkan buah pinggang gagal mengitar air seperti biasa. Ini mengakibatkan pundi kencing penuh dengan lebih cepat.
    • Kegagalan fungsi buah pinggang. Ini disebabkan oleh kerosakan saluran darah dan ginjal disebabkan kandungan gula yang tinggi terlalu lama.
    • Sakit jantung disebabkan kerosakan saluran darah.
    • Serangan angin akhmar disebabkan kerosakan saluran darah.
    • Buta disebabkan kerosakan mata. Kanta mata menjadi kurang kenyal disebabkan kandungan gula yang tinggi.
    Bagaimanapun sekiranya pengidap kencing manis mengambil langkah yang sewajarnya, kadar gula dalam darah boleh dikawal dan pengidap kencing manis dapat hidup seperti orang lain. Makanan yang seimbang perlu dikawal seumur hidup disebabkan penyakit kencing manis masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya.
    Ingat...hargai kesihatan anda..saya hanya bantu beri jariah info...selebihnya terpulang pada anda,,,ok jumpa lagi dilain post.