Ramai orang terperangkap penyakit kencing manis kerana tidak menjaga pemakanan
Okay...post kali ni masih bersekitar kencing manis..bukan apa..ekoran lawatan aku ke hospital Kluang ni ramai pula jumpa pesakit kencing manis..ada yang baru potong kaki..ada yang baru kena cuci dan macam-maca lagilah..ya..lah penyakit "pantang jumpa atau nampak ni" dah jadi trend kita di zaman millenium ni..alhasil kita juga yang nyesal..
PENINGKATAN jumlah pesakit kencing manis setiap tahun belum dapat meningkatkan kesedaran ramai orang untuk sentiasa menjaga pemakanan dan kesihatan dengan bersungguh-sungguh.
Untuk berpantang makan di negara yang kaya dengan kepelbagaian makanan enak seperti Malaysia sememangnya payah dilakukan.
Justeru, ada pakar perubatan mengandaikan rakyat negara ini seolah-olah mengamalkan satu konsep pemakanan iaitu ‘pantang nampak’, menyebabkan ramai orang, termasuk golongan muda seawal usia 30 tahun, terjebak dalam perangkap penyakit kencing manis.
Kencing manis berlaku apabila kelenjar pankreas sentiasa mengeluarkan insulin dan kadangkala melebihi paras normal. Pada masa sama badan tidak dapat menggunakan insulin ini, menjadikan pesakit dalam keadaan tidak cukup insulin.
Insulin adalah sejenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah. Apabila kita makan atau minum, kandungan gula dalam makanan atau minuman itu merangsang kelenjar pankreas untuk menghasilkan insulin.
Insulin ‘membenarkan’ gula yang dipecahkan dalam bentuk lebih ringkas dalam darah berpindah ke sel bagi membolehkan sel berfungsi.
Bagaimanapun, jika proses pemindahan tidak berlaku (akibat kekurangan insulin), darah mempunyai berlebihan gula dan berlakulah masalah kencing manis.
Masalahnya ialah, kencing manis berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari. Jika anda ada ahli keluarga yang menghidap kencing manis, bermakna anda perlu lebih berhati-hati kerana risiko mendapat penyakit ini sentiasa ada.
Kencing manis lebih kerap berlaku pada individu yang terlalu gemuk atau obes kerana badan memerlukan banyak insulin bagi memastikan paras gula dalam darah berada pada tahap normal.
Sebagaimana penyakit kronik lain, kencing manis tidak menunjukkan gejala atau tanda. Namun, ia boleh dikesan melalui ujian darah. Ini sebabnya kita disaran menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh atau setidak-tidaknya ujian darah setahun sekali supaya masalah dapat dikesan awal.
Menurut Panduan Perubatan Merck Edisi Kedua, diabetes boleh menyebabkan pelbagai komplikasi iaitu kepada:
Komplikasinya: Aliran darah yang tidak baik mengakibatkan luka lambat sembuh dan meningkatkan risiko sakit jantung, strok, gangren (kematian dan kemerosotan anggota tubuh akibat kekurangan darah) pada kaki dan tangan, masalah mati pucuk dan memudahkan jangkitan. Ini sebabnya ramai pesakit kencing manis berdepan kemungkinan kaki dipotong apabila luka pada kaki menjadi kudis besar dan sukar disembuhkan.
Komplikasinya: Kepekaan deria sentuh pada kaki atau tangan contohnya merosot secara perlahan-lahan, kebas dan kadangkala berasa sakit. Jika kencing manis terus tidak terkawal, ia merosakkan saraf.
Pesakit kencing manis juga perlu memberi lebih tumpuan pada penjagaan kaki. Kajian menunjukkan 25 peratus pesakit mengalami masalah kaki akibat kencing manis akibat komplikasi seperti disenaraikan di atas.
Penjagaan kaki ini perlu dijadikan rutin harian bagi mengelak masalah serius. Malah, luka kecil pada kaki juga perlu diberi perhatian khusus sebelum ia menjadi kudis besar kerana luka pada pesakit kencing manis biasanya lambat sembuh.
Amalan
> Periksa kaki setiap pagi selepas mandi.
> Cuci kaki dengan air suam.
> Keringkan kaki, terutama di celah jari. Boleh sapu bedak di celah jari, tetapi jangan gunakan losen kerana ia boleh menggalakkan jangkitan (kerana kaki sentiasa lembap).
> Potong kuku kaki setiap minggu.
> Pakai kasut selesa. Kalau boleh, pakai stokin dan kasut sepanjang masa untuk mengelak kaki terkena objek yang boleh menyebabkan luka. Bagi orang Melayu, anda boleh memakai selipar dalam rumah.
> Jika ada luka, cepat-cepat rawat hingga sembuh.
> Berhenti merokok. Merokok mengurangkan lagi aliran darah ke kaki.
Oleh itu marilah bersama-sama beringat-ingat..sayangilah jasad anda...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan