Khamis, 19 Julai 2007

PUNCA KULIT ROSAK


Makanan tak seimbang punca kulit rosak

MEMILIKI kulit yang bersih dan sihat boleh meningkatkan keyakinan seseorang untuk berdepan orang ramai. Mungkin ramai tidak sedar, keyakinan dan keselesaan dengan diri sendiri menjadikan seseorang itu tampak lebih cantik.



Sememangnya tidak mudah untuk seseorang selesa dengan dirinya, terutama kulitnya. Pelbagai masalah kulit seperti jerawat, jeragat, kulit berminyak dan kusam banyak dipengaruhi gaya hidup kita.

Kulit adalah organ terbesar dalam badan dan ia menjadi sistem perlindungan kedua menghalang kemasukan bakteria atau virus yang menyebabkan jangkitan serta masalah kesihatan.

Namun, gaya hidup yang tidak sihat dan pemakanan tidak seimbang memberi kesan buruk kepada kulit. Tabiat pemakanan yang kaya lemak dan gula contohnya akan memaksa badan menyingkirkan bahan toksik dan lemak berlebihan tadi melalui kulit, mengakibatkan tompok hitam pada kulit.

Perokok dan orang yang mengalami masalah ketagih kafein pula kerap menghadapi masalah kulit kering. Sebaliknya individu yang banyak makan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, soya dan minum air secukupnya (sekurang-kurangnya satu liter sehari) biasanya mempunyai kulit yang cantik dan bersih.

Malangnya, gaya hidup kita hari ini yang sibuk dan bergantung kepada makanan diproses, yang mengandungi banyak lemak haiwan tepu, gula dan karbohidrat serta mempunyai jangka hayat lama, sebenarnya musuh utama kesihatan kulit.

Makanan yang tinggi kandungan lemak tepu akan merangsang kelenjar sebum merembeskan lebih banyak minyak daripada kadar normal dan mengakibatkan jerawat.

Selain lemak haiwan, pengambilan minyak yang dihidrogenkan (digunakan dalam penghasilan marjerin, kek dan biskut komersial) perlu dielakkan atau sekurang-kurangnya dikurangkan.

Terlalu banyak gula boleh menjejaskan sistem imun badan. Ini sebabnya pesakit diabetes mengalami masalah luka lambat sembuh kerana badan mereka tidak mampu mengawal paras gula dalam darah.

Sentiasa waspada dengan apa yang anda makan, terutama gula yang terkandung dalam air minuman berkarbonat, jus dalam paket, makanan dingin beku dan snek.

Untuk memastikannya, periksa perkataan seperti fruktosa, dekstrosa dan sukrosa pada label. Semua ini adalah gula dalam bentuk berbeza.

Antara sumber makanan lain yang perlu diawasi ialan garam. Walaupun garam antara mineral penting, jika terlalu banyak ia boleh menyebabkan masalah retensi air, iaitu badan tidak boleh menyingkir air berlebihan.

Akibatnya, seseorang individu itu akan mengalami masalah kulit bengkak terutama di bahagian sensitif seperti di bawah mata. Malah terlalu banyak garam juga boleh meningkatkan tekanan darah.

Selain itu, kurangkan pengambilan makanan yang diawet kerana kandungan iodin di dalamnya boleh menyebabkan kita mudah mendapat jerawat. Jika kita mempunyai masalah jerawat, iodin boleh memburukkan keadaan dan menjadikannya lebih banyak.

Ada orang tidak boleh memulakan tugas jika tidak minum kopi. Individu seperti ini boleh dianggap ketagihan kafein. Walaupun ada dakwaan perubatan mengatakan kafein boleh mengelakkan penyakit tertentu seperti Parkinson, ia memberi kesan buruk jika diambil berlebihan.

Kafein bukan saja ada dalam kopi. Minuman seperti teh, coklat dan minuman ringan seperti kola juga mengandungi kafein. Berlebihan kafein akan menyebabkan sel kulit mengalami kekeringan, mengurangkan keupayaan sel menggunakan vitamin B dan C.

Jika anda tergolong dalam kumpulan ketagih kafein, minum banyak air sekurang-kurangnya satu liter sehari untuk mengatasi masalah kekeringan kulit. Bagaimanapun, musuh paling utama ialah pengambilan alkohol berlebihan kerana ia bukan saja menyebabkan kekeringan kulit, tetapi turut merosakkan sel hati.

Makanan perlu untuk kulit

Sumber utama untuk mengekalkan kesihatan kulit ialah sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin mil penuh yang banyak serat. Buah-buahan dan sayur-sayuran bukan saja kaya dengan bahan antioksidan, tetapi kandungan airnya dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Pakar perubatan mengesyorkan supaya kita mengambil makanan yang mempunyai tiga warna asas iaitu merah, kuning dan hijau setiap hari kerana ia sumber utama antioksidan.

Contohnya tomato, lada benggala, lobak merah, tembikai, betik, belimbing, oren, limau dan semua sayur-sayuran hijau. Ia bukan saja untuk kesihatan kulit, tetapi membantu melancarkan sistem perkumuhan kerana mengandungi banyak air dan serat.

Tiada makanan yang boleh dianggap makanan lengkap dan sempurna. Jadi, kita perlu mempelbagaikan makanan yang diambil kerana ia saling melengkapi bagi memenuhi keperluan harian.

Perlu diingat, bukan semua lemak tidak baik kerana badan masih memerlukan sumber lemak, terutama bagi mengekalkan kesihatan kulit dan rambut. Antara asid lemak penting ialah Omega 3 dan 6.

Bagi individu yang mengalami masalah kulit berminyak, kurangkan pengambilan makanan berlemak. Sebaliknya, lebihkan makanan yang kaya kandungan beta karoten iaitu makanan berwarna merah seperti lobak merah dan paling penting, minum banyak air.

Jika kulit kering, pastikan anda minum banyak air untuk menggantikan air yang hilang dan mengembalikan kelembapan. Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanan yang kaya sulfur seperti ikan, bawang putih dan bawang merah boleh membantu kulit kelihatan lebih licin dan lembut.

Manakala bagi kulit bermasalah pula, ambil makanan kaya zat besi dan serat. Elak makanan bergoreng, berminyak dan berlemak. Minum banyak air kerana air boleh menyingkir bahan toksik daripada badan yang menyebabkan pelbagai masalah kulit.

1 ulasan:

SlimOrg berkata...

Memang betul, makanan terperoses sekarang ni la yang paling mudah dan popular, tapi mengundang banyak masalah. Mungkin kena seimbangkan dengan amalan pemakanan kaya serat (fiber).