Rabu, 21 Mei 2008

Jagaan semasa mengandung


Apakah itu jagaan semasa mengandung?

Jagaan semasa mengandung merupakan khidmat yang diberi kepada ibu mengandung sebaik sahaja ia disahkan hamil. Khidmat tersebut meliputi lawatan berjadual secara berkala ke klinik ibu mengandung, penilaian berterusan ke atas tumbesaran janin dan mengenalpasti faktor-faktor risiko yang mungkin wujud di kalangan ibu tersebut. Pengurusan seterusnya adalah sangat penting di samping memberi pendidikan dan nasihat kepada ibu serta keluarganya.
Jagaan ini akan berterusan sehinggalah ibu bersalin.

Apakah tujuan jagaan semasa mengandung?

Tujuannya adalah untuk memastikan ibu dan bayi yang dikandung itu sentiasa berada dalam keadaan sihat. Ini dilakukan dengan memantau kehamilan dan merawat segala masalah yang timbul. Jagaan semasa mengandung yang anda akan terima mungkin dianggap membebankan tetapi ia adalah untuk kebaikan anda bagi mengenalpasti masalah di peringkat lebih awal. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi anda untuk membuat lawatan secara berkala seperti yang dinasihatkan. Pemeriksaan yang dibuat secara tekal akan menghasilkan satu kehamilan yang sihat dan menjamin kelahiran yang selamat.

Siapakah yang memberi khidmat ini?

Bagi kebanyakan ibu, adalah lebih senang jika jagaan ini diberikan oleh doktor keluarga dan pihak hospital. Bagi ibu-ibu yang mempunyai faktor risiko yang minima, seorang doktor, jururawat atau bidan sudah cukup untuk memberi sebahagian besar dari khidmat jagaan ini. Di Malaysia, jagaan semasa mengandung asas diberi oleh:
• Jururawat Masyarakat yang ditempatkan di klinik masyarakat.
• Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak yang dianggotai oleh jururawat kesihatan/ jururawat terlatih dan jururawat masyarakat/bidan.
• Doktor, jururawat dan bidan di klinik-klinik pakar Obstetrik dan Ginekologi di hospital-hospital.
• Klinik-klinik doktor swasta.
• Klinik pakar swasta.
• Hospital bersalin swasta.

Apakah jagaan sebelum mengandung?

Jagaan sebelum mengandung merupakan jagaan yang diberi kepada wanita-wanita yang bakal menjadi ibu yang merancang untuk hamil di masa akan datang. Taraf kesihatan am bakal-bakal ibu ini boleh diperiksa dan usaha-usaha akan dilakukan untuk menstabilkan pengurusan sesuatu masalah yang wujud seperti diabetes, tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang, paru-paru atau masalah-masalah neurologi yang kronik. Implikasi atau kesan masalah-masalah ini semasa hamil ke atas ibu dan bayi akan dibincangkan kemudian. Keimunan atau ketahanan terhadap demam cacar air atau rubella, kesan bahaya dari pengambilan bahan-bahan tertentu seperti rokok, alkohol perlu diubahsuai. Terapi ubat-ubat tertentu mungkin perlu diubah atau dihentikan buat sementara waktu ketika hamil. Pada umumnya, jagaan sebelum mengandung perlu meliputi:
• Suntikan.
• Kaunseling genetik.
• Pengurusan beberapa masalah perubatan.
• Nasihat mengenai makanan atau diet.
• Nasihat mengenai dadah, alkohol dan merokok.
• Pengambilan pil perancang keluarga atau Kontraseptik.
• Nasihat mengenai kehamilan di masa hadapan.
• Pendidikan kesihatan untuk kehamilan.

Lawatan semasa mengandung yang pertama

Jika ujian kehamilan anda positif, doktor atau jururawat anda akan memeriksa dan menasihatkan sewajarnya. Pada lawatan permulaan, sejarah atau latar belakang anda akan diambil sepenuhnya. Pemeriksaan fizikal akan dilakukan. Beberapa pemeriksaan asas yang rutin akan dibuat. Dari sejarah yang diambil beberapa perkara berikut akan dijalankan:
• Pengiraan jangkaan tarikh kelahiran (EDD) akan dibuat. Bagi wanita yang mempunyai perjalanan haid yang tekal, pengiraan ini adalah berdasarkan kepada kedatangan haid yang terakhir. Anda perlu menyimpan diari kedatangan haid anda dan bawanya ke klinik ketika membuat lawatan yang pertama nanti. Ini sangat penting terutamanya jika kedatangan haid yang tidak menentu.
• Sejarah kehamilan sekarang seperti muntah, kesakitan atau pendarahan.
• Sejarah sakit puan (obstetrik) yang lalu yang penting, seperti:
o Tarikh dan tempat bersalin yang lepas.
o Jangka masa kehamilan, berat anak yang lahir (adakah bayi tersebut dilahirkan pramatang atau beratnya kurang dari 4 kg?)
o Kesan-kesan ke atas janin (adakah bayi yang dilahirkan itu hidup atau dilahirkan mati?
o Permulaan dan jangka masa pelahiran.
o Jenis kelahiran (adakah ia kelahiran normal, songsang, forseps, vakum atau Ceasarean?).
o Komplikasi-komplikasi yang berkaitan seperti penyakit tekanan darah tinggi, pendarahan postpartum (pendarahan selepas bersalin).
o Komplikasi pelahiran dan selepas bersalin.
o Jenis penyusuan yang diberi.
• Sejarah keluarga yang menghidap Diabetes, Tekanan Darah Tinggi atau Tibi
• Kewujudan masalah-masalah perubatan sebelum ini.
• Sejarah pembedahan yang lalu terutamanya yang melibatkan pangkal rahim atau pernah mengalami D&C (Pendilatan dan Pengkuretan) sebelum ini.
• Sejarah sosial - seperti merokok, pengambilan dadah (yang diberikan oleh doktor atau yang disalahgunakan) dan alkohol.
Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan fizikal?
Pemeriksaan fizikal selalunya dilakukan oleh doktor atau jururawat semasa lawatan pertama dibuat. Ketinggian, berat badan dan tekanan darah ibu akan diambil. Sebarang bentuk keabnormalan akan direkodkan dan jantung, paru-paru serta payudara akan diperiksa. Pemeriksaan-pemeriksaan lain yang akan dijalankan adalah termasuk pemeriksaan gigi dan gusi kerana penyakit gigi dan gusi ini adalah biasa dan kemungkinan jagaan lanjut diperlukan.
Abdomen dan pelvis juga akan diperiksa untuk menentukan saiz rahim. Pemeriksaan menggunakan spekulum perlu dijalankan untuk mengambil calitan pangkal rahim bersama swab faraj bagi memeriksa kewujudan sebarang jangkitan. Beberapa perkara akan dilakukan di klinik, seperti:
• Pemeriksaan tekanan darah - peningkatan tekanan darah merupakan satu dari tanda-tanda tekanan darah tinggi ketika hamil. Ini adalah satu masalah yang serius.
• Ujian air kencing untuk mengesan bahan protein (merupakan tanda praeklampsia) gula, nanah, darah dan lain-lain. Diabetes adalah perkara yang sangat biasa berlaku ketika hamil. Kewujudan gula dalam air kencing merupakan tanda pertama masalah ini.
• Berat badan - berat badan yang berlebihan mungkin disebabkan pengumpulan lemak atau cecair. Kurang penambahan berat badan mungkin menandakan bayi dalam kandungan tidak mendapat zat makanan atau nutrien yang cukup.
• Memeriksa perut - pemeriksaan abdomen dibuat untuk menentukan kedudukan bayi dalam kandungan; sama ada normal ataupun songsang. Periksa kedudukan kepala, sama ada ianya masih bebas atau telah "engage". Memeriksa saiz rahim untuk memastikan sama ada ia membesar mengikut tarikhnya ataupun tidak. Ini dapat dipastikan melalui palpitasi atau menggunakan pita ukuran untuk mengukur lilitan perut.
• Ujian-ujian darah.
• Pemeriksaan ultrasound.
Apakah pemeriksaan yang lazimnya dilakukan pada kali pertama melawat klinik?
Antaranya termasuklah:
• Anggaran paras hemoglobin - untuk menentukan anemia.
• Kumpulan jenis darah ABO dan Rhesus - adalah penting untuk mengenalpasti ibu yang mempunyai negatif Rhesusnya lebih awal bagi membolehkan mereka menerima anti-D globulin (rhogam) berikutan dari sesuatu keguguran, penamatan atau menjalani sesuatu prosedur yang invasif seperti Amniocentesis. Penyerasian silang darah pesakit juga dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya pesakit menghadapi pendarahan yang teruk dan memerlukan pemindahan darah.
• Ujian serologi untuk penyakit sifilis dan VDRL (Veneral Disease Research Laboratories) - ibu yang seropositif untuk penyakit Sifilis perlu dirujuk ke klinik pakar Venerologi supaya rawatan awal boleh diberikan.
• Ujian Serologi untuk Hepatitis B - ujian ini bukanlah rutin tetapi hanya dilakukan untuk ibu mengandung yang disyorkan sahaja. Bagi pembawa Hepatitis B yang positif, anggota kesihatan yang melakukan pemeriksaan dan kelahiran ibu tersebut perlu lebih berhati-hati.
• Di sesetengah klinik ujian saringan untuk HIV juga diljalankan.
Apakah tujuan melakukan saringan ultrasound semasa mengandung?
Di Malaysia, pemeriksaan ultrasound bukanlah sesuatu yang rutin dilakukan untuk semua ibu mengandung. Di tempat-tempat yang memiliki kemudahan ini, ia sangat baik jika dilakukan di trimester pertama dan pada minggu yang ke 18. Kemudian diulang, mungkin di minggu ke 34 untuk melihat tumbesaran janin dan kedudukan uri.
• Ia dilakukan apabila tarikh kedatangan haid yang terakhir tidak diketahui dan juga di kalangan pesakit yang kedatangan haidnya tidak menentu.
Tujuan ultrasound ialah:
• Dilakukan di awal kehamilan untuk mendapat maklumat berhubung dengan jumlah janin, kebolehhidupannya dan untuk menentukan umur janin dengan tepat.
• Ia membantu mendiagnoskan komplikasi kehamilan lebih awal, seperti pengguguran tertinggal, kehamilan Ektopik dan kehamilan Molar.
• Ia membantu mendiagnoskan keadaan janin seperti Anensefali, Spina Bifida dan keabnormalan kromosom seperti Sindrom Down. Juga mengesan masalah yang mungkin wujud di penghujung kehamilan seperti Plasenta Previa juga boleh didiagnoskan.
• Pengimbasan awal boleh membantu menentukan jangkaan tarikh kelahiran.
Bagaimanakah ultrasound ini dilakukan?
Prosedur ini tidak mendatangkan sebarang kesakitan. Anda hanya perlu berbaring di atas kerusi panjang dan gel ultrasound akan disapukan ke perut anda supaya imej bayi anda akan dapat dilihat dengan jelas. Gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi akan dihasilkan oleh kuar ultrasound dan ia digunakan untuk menghasilkan gambar bayi. Anda akan dapat melihatnya di skrin. Gambar yang terbaik dapat dihasilkan apabila pundi kencing anda penuh. Oleh itu anda akan diminta untuk minum lebih banyak cecair sebelum prosedur ini dijalankan. Ini dilakukan di peringkat awal kehamilan. Di akhir kehamilan anda, rahim akan menonjol keluar dari rerongga pelvis dan anda tidak lagi perlu mengisi pundi kencing sebegitu banyak. Prosedur ini akan mengambil masa antara 5 minit hingga setengah jam, bergantung kepada bentuk pengimbas. Bagaimanakah ibu mengandung yang berisiko dapat dikenalpasti?
Jagaan ibu mengandung yang berkala dan tekal seharusnya dapat mengenalpasti mana-mana ibu hamil yang berisiko.
Faktor risiko selalunya dikaitkan dengan:
• Umur dan pariti (jumlah anak yang berjaya dilahirkan hidup).
• Faktor yang menunjukkan umur janin yang tidak pasti.
• Faktor-faktor yang terdapat pada sejarah kehamilan masa lalu yang ada kaitannya dengan kematian janin dan penyakit-penyakit tertentu.
• Masalah-masalah kesihatan ibu mengandung seperti tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit buah pinggang, masalah jantung yang boleh memberi kesan buruk kepada kehamilan. Pada masa yang sama meletakkan ibu berkenaan dalam ketegori mereka yang berisiko tinggi.
SAMBUNG.........TUNGGUUU... (5)

Tiada ulasan: