Jumaat, 9 Mei 2008

TERCEKIK ATAU CEKIKAN

Jika seseorang mengalami cekikan, mereka selalunya akan mudah panik. Keadaan ini akan menjadi bertambah sulit jika anda juga menjadi panik. Adalah penting anda bertenang dan ikutilah arahan di bawah. Pengurusan/pengendalian kanak-kanak yang menghadapi masalah cekikan bergantung kepada saiz tubuh mereka.
Mengendalikan masalah cekikan di kalangan orang dewasa/kanak-kanak dengan ketinggian melebihi 1.2 meter
Sekiranya mangsa berada dalam keadaan sedar:
1. Bercakap dengan mangsa
Jika mangsa boleh menjawab, bermakna dia dapat menggerakkan udara di dalam salur pernafasannya (boleh bernafas). Galakkan mangsa untuk batuk. Jika mereka berupaya batuk dengan kuat, tunggu dan awasi sahaja keadaan mangsa..
2. Lakukan sesuatu jika:
• Mangsa tidak dapat menjawab.
• Anda berpendapat bahawa tiada udara mengalir keluar dan masuk ke dalam salur pernafasannya (mangsa tidak bernafas).
• Mangsa hilang keupayaan untuk batuk dengan kuat.
Tindakan yang boleh dilakukan
Untuk mangsa yang sedang berdiri:
Berdiri di belakang mangsa. Letakkan sebelah tangan anda di atas genggaman tangan yang sebelah lagi di tengah-tengah badan mangsa iaitu betul-betul di bawah hujung tulang dada. Sekiranya mangsa terlalu tinggi, baringkan mereka di atas permukaan yang rata. Lakukan tekanan dengan cepat dan padu ke dada mangsa ke dalam dan ke atas. Lakukan sehingga benda yang tersekat itu terkeluar dari tekak.
Bagi mangsa yang terbaring di atas lantai:
Telentangkan mangsa di atas permukaan yang rata dan keras. Duduk melutut dengan mangsa berada di tengah-tengah. Letakkan pangkal sebelah tangan anda di tengah abdomen mangsa (di bawah tulang dada) dengan tangan yang sebelah lagi menekan di atasnya. Kemudian lakukan tekanan dengan cepat dan padu ke dada mangsa dengan membongkok sedikit ke hadapan.
Sekiranya mangsa tidak sedarkan diri:
1. Periksa laluan udaranya (salur pernafasan)
• Buka mulut mangsa dengan memegang rahang bawah dan lidah dan menolaknya ke bawah.
• Jika anda dapat melihat sesuatu, masukkan jari anda di satu sisi tekak dan dengan menggerakkan jari anda ke sisi satu lagi, cuba mengorek keluar benda yang tersekat itu.
• Jika mangsa tidak bernafas dengan spontan walaupun anda berjaya mengeluarkan benda yang tersekat, berikan 2 hembusan nafas yang cepat melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut.
• Jika dada mangsa tidak bergerak naik, hembusan nafas yang anda berikan seperti terhalang oleh sesuatu dalam salur pernafasan mangsa atau anda tidak berjaya mengeluarkan benda yang tersekat di tekak, anda perlu bertindak segera.
Tindakan anda
• Baringkan mangsa melentang. Duduk melutut merentang dengan mangsa berada di tengah-tengah. Letakkan tapak sebelah tangan anda di bahagian bawah tulang dada dengan tangan satu lagi di atasnya.
• Dengan membongkok ke hadapan, tekan abdomen mangsa dengan cepat dan padu beberapa kali.
Mengendalikan masalah cekikan di kalangan orang dewasa/kanak-kanak dengan ketinggian kurang dari 1.2 meter
1. Sekiranya kanak-kanak dalam keadaan sedar:
Perhatikan bayi/kanak-kanak berkenaan: Jika mereka tidak bernafas, tidak boleh menangis atau batuk dengan kuat, terus ke langkah 2.
2. Jika kanak-kanak tidak sedarkan diri:
• Periksa saluran udara mangsa.
• Buka mulut mangsa dengan memegang rahang bawah dan lidah dan menolaknya ke bawah.
• Jika anda terlihat objek yang tersekat, masukkan jari anda di satu sisi tekak dan dengan menggerakkan jari anda ke sisi satu lagi, cuba mengorek keluar benda yang tersekat itu.
• Jika mangsa tidak bernafas dengan spontan walaupun anda berjaya mengeluarkan benda yang tersekat, berikan 2 hembusan nafas yang cepat melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut.
• Jika dada mangsa tidak bergerak naik, hembusan nafas yang anda berikan seperti terhalang oleh sesuatu dalam salur pernafasan mangsa atau anda tidak berjaya mengeluarkan benda yang tersekat di tekak, terus ke langkah 2.
3. Kedudukan menelungkup/meniarap
Letakkan bayi/kanak-kanak dalam keadaan meniarap. Ampu kepala dan badannya di atas lengan anda. (Anda perlu duduk untuk memudahkan proses ini).
4. Teknik tepukan belakang
Tepuk belakang bayi/kanak-kanak dengan cepat dan padu menggunakan dasar tapak tangan, di bahagian antara tulang kipasnya sebanyak 4 kali.
5. Telentangkan bayi/kanak-kanak
Pusingkan bayi supaya menelentang dengan mukanya memandang ke atas. Ampu kepala dan badannya di atas lengan anda. (Anda perlu duduk untuk memudahkan proses ini).
6. Teknik lonjakan dada
Dengan menggunakan 2 jari, tekan tulang dada bayi/kanak-kanak sebanyak 4 kali dengan cepat.
7. Teruskan langkah 2-5 sehingga objek yang tersekat dapat dikeluarkan.
INGAT.....
• Jangan panik. Bertenanglah dan ikuti arahan yang dinyatakan di atas. Jika anda gagal mengeluarkan objek yang tersekat, dapatkan rawatan kecemasan segera di hospital

Tiada ulasan: